KUALA LUMPUR 15 Nov - Kenanga Research mengekalkan pandangan 'outperform' dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.01 sesaham terhadap Swift Haulage Bhd. selepas ia merekodkan prestasi kewangan yang memenuhi jangkaan firma bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022.
Untung bersihnya bagi tempoh itu meningkat 16.58% kepada RM39.22 juta daripada RM33.64 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan meningkat 11.33% kepada RM479.67 juta daripada RM430.86 juta.
Menurut firma itu, keuntungan bersih terasnya adalah memenuhi jangkaannya dan konsensus, masing-masing merangkumi 70% dan 72% bagi anggaran tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2022 (FY22).
Katanya, Swift Haulage mencatatkan prestasi yang lebih kukuh didorong sebahagian besarnya oleh pemulihan dalam aktiviti perniagaan apabila sekatan pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 dilonggarkan.
"Sementara itu, pengangkutan produk petrokimia, khususnya untuk kumpulan syarikat Petronas, adalah rancak berikutan harga minyak mentah yang kukuh.
"Turut membantu melonjakkan prestasinya ialah volum pintu masuk tempatan yang kukuh, menyokong volum eksport," katanya dalam nota kajian hari ini.
Sejajar dengan pembukaan semula ekonomi, Swift Haulage akan terus memberi tumpuan untuk mengembangkan pangkalan pelanggannya di dalam negara dan serantau di tengah-tengah kesan yang disebabkan oleh keadaan geopolitik dan wabak COVID-19.
Pengembangan kapasiti gudangnya telah selesai pada suku ketiga, sekali gus meningkatkan kapasitinya sebanyak 46%.
Kenanga Research berkata, kumpulan telah menyelesaikan pembesaran gudangnya di Tebrau (daripada 108,000 kaki persegi kepada 308,000 kaki persegi) dan Seberang Prai (daripada 113,000 kaki persegi kepada 222,000 kaki persegi).
Ia juga mula menyediakan perkhidmatan pengurusan gudang dan pengangkutan di Pengerang untuk Petronas (kira-kira 1.17 juta kaki persegi).
"Buat masa ini, kumpulan sedang mengembangkan gudang rantaian sejuknya di Sabah (daripada 27,000 kaki persegi kepada 57,000 kaki persegi, siap menjelang suku pertama 2023) dan membina sebuah gudang di Zon Bebas Pelabuhan Klang (178,000 kaki persegi, siap pada suku keempat 2022)," jelasnya.
Menurutnya, Swift Haulage memiliki kelebihan sebagai peneraju utama bagi perniagaan pengangkutan yang menguasai hampir 10% bahagian pasaran di Malaysia.
"Selain itu, ia mempunyai tambah nilai yang mampu menghasilkan margin keuntungan sebelum cukai yang luar biasa sebanyak 10% berbanding purata industri sebanyak 4% dan potensi pertumbuhan besar dalam perniagaan pergudangannya dengan memanfaatkan pasaran e-dagang domestik yang berkembang pesat," katanya.
Setakat 9.06 pagi, harga sahamnya susut 2 sen atau 3.92% kepada 49 sen dengan 2.39 juta saham diniagakan. - DagangNews.com