UOB Malaysia terbit Nota Jangka Sederhana Subordinat bernilai RM1 bilion | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia terbit Nota Jangka Sederhana Subordinat bernilai RM1 bilion

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Okt - UOB Malaysia hari ini menerbitkan Nota Jangka Sederhana (MTN) Subordinat Tahap 2 bernilai RM1 bilion yang akan matang pada Oktober 2032 yang boleh ditebus pada )ktober 2027 pada kupon kadar tetap 4.9% setahun.

 

Walaupun berdepan pasaran kewangan yang tidak menentu dan persekitaran kadar faedah yang semakin meningkat, bank berjaya menetapkan harga Tahap 2 subordinat patuh Basel III berdenominasi Ringgit Malaysia yang terbesar setakat ini.

 

Nota subordinat itu diberi penarafan AA1 oleh RAM Rating Services Berhad, ditempatkan secara persendirian kepada lebih 20 pelabur institusi berkualiti tinggi termasuk syarikat insurans, pengurus dana, badan berkanun, bank dan bank swasta. 

 

Permintaan kukuh daripada pelabur juga menyaksikan saiz terbitan meningkat daripada sasaran awal RM500 juta kepada RM1 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, kejayaan transaksi itu disaksikan melalui penarafan kukuh dan penetapan harga adalah bukti kekukuhan profil kredit dan asas perniagaan yang teguh UOB Malaysia. 

 

"Di sebalik persekitaran pasaran yang tidak menentu, kami menerima maklum balas positif daripada pelabur untuk MTN Tahap patuh Basel III Bank, menjadikannya terbitan dalam denominasi mata wang tempatan yang terbesar setakat ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

CIMB Investment Bank, HSBC Bank Malaysia dan UOB Malaysia bertindak sebagai Pengurus Utama Bersama untuk transaksi ini. - DagangNews.com