Zakat : Sudahkah kita tunaikan sedekah yang wajib ini?  | DagangNews.com Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 17 January 2023

ZAKAT : SUDAHKAH KITA TUNAIKAN SEDEKAH YANG WAJIB INI?

 

 

ZAKAT adalah satu sistem sedekah wajib yang diwahyukan oleh Allah SWT. Sempena awal 2023 ini, penulis ingin memperingatkan tentang kewajiban zakat bagi setiap orang Islam.

 

Ia adalah rukun Islam yang ketiga. Oleh itu, adalah wajib ke atas seseorang muslim memenuhi tanggungjawab mereka dalam menunaikan zakat sebelum melaksanakan pelbagai jenis sedekah sunat yang lain.

 

Zakat bukanlah sedekah biasa yang boleh ditunaikan sesuka hati kerana ia hanya diwajibkan ke atas harta-harta tertentu, dengan syarat dan kadar ditetapkan serta untuk diagihkan kepada penerima-penerima yang dikenalpasti.
 

Setiap muslim wajar ambil tahu dan memberi perhatian kepada peraturan-peraturan zakat dan bukannya membayar zakat sesuka hati. 

 

Manusia sama ada muslim atau tidak, adalah tertakluk kepada undang-undang Pencipta alam semesta ini. Masa depan mereka adalah suatu yang tidak pasti dan tidak diketahui untung nasib, walau sehebat manapun perancangan mereka. 

 

Ini kerana manusia tidak dapat mengetahui hakikat masa depan, walaupun selengkap dan sebaik manapun perancangan yang telah dibuat.

 

 

gambar hiasan

 

 

Oleh sebab itulah kewangan Islam kini mewujudkan insurans (takaful) sebagai satu kaedah dalam pengurusan risiko sebagaimana yang dianjurkan menurut Islam.

 

Sesuatu yang menarik untuk diperhatikan ialah sebuah hadis berkenaan risiko dan perlindungan. Hadis ini menyebut zakat dengan perlindungan daripada risiko. 

 

Rasulullah SAW bersabda, “Lindungilah harta kamu dengan zakat, rawatilah mereka yang sakit dengan sedekah dan hadapilah segala musibah dengan berserah diri dan taqwa kepada Allah” (riwayat Abu Dawud)” dan “Harta tidak akan berkurang disebabkan oleh sedekah” (riwayat Muslim). 

 

Apakah yang dimaksudkan dengan 'Lindungilah harta kamu dengan berzakat' dan apakah syarat-syarat dalam menunaikan zakat?

 

Pertama, setiap muslim adalah diperintahkan untuk mencari harta dan pendapatan yang halal. Harta yang diperoleh secara haram bukan sahaja menjauhkan seseorang daripada rahmat Allah, malah akan menjadi sebab untuk seseorang itu menerima azab seksa di dalam kehidupan selepas kematian. 

 

Dalam hidup ini, adalah amat penting untuk seseorang itu memastikan semua sumber harta dan pendapatannya adalah halal dan baik.

 

Kedua, muslim diperintahkan untuk memberikan sedekah atau infaq daripada harta dan pendapatan yang mereka perolehi secara halal. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Allah berfirman di dalam Al Quran “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.” (Al Baqarah 267).

 

“Ambillah zakat dari harta mereka, guna membersihkan dan menyucikan mereka, dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doamu itu (menumbuhkan) ketenteraman jiwa bagi mereka. Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui.” (At Taubah 103)

 

“Katakanlah, “Sungguh, Tuhanku melapangkan rezeki dan membatasinya bagi siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya.” Dan apa saja yang kamu infakkan, Allah akan menggantinya dan Dialah pemberi rezeki yang terbaik.” (As Saba 39)

 

Sedekah, sama ada besar atau kecil, tidak akan terkecuali menerima ganjaran daripada Allah SWT. Rasulullah SAW telah bersabda “Lindungilah diri kamu daripada api neraka walaupun dengan separuh tamar , iaitu sebagai sedekah” (Riwayat Bukhari dan Muslim). 

 

Inilah hakikat sedekah di dalam Islam, iaitu untuk menyuci dan membersihkan diri dan harta, serta menyelamatkan diri daripada seksaan api neraka.

 

Di antara kesan perkembangan pesat dalam industri kewangan Islam masa kini ialah apabila ‘makna’ penyucian harta melalui pemberian zakat ini turut merangkumi penyucian harta melalui pemberian sedekah daripada pendapatan haram (atau syubhah) yang diperoleh secara tidak sengaja dalam proses pengurusan portfolio pelaburan seseorang individu muslim.

 

 

gambar hiasan

 

 

Secara umum, terdapat dua kategori zakat iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Zakat fitrah diwajibkan ke atas semua individu muslim sama ada kaya atau miskin. 

 

Tempoh pembayaran zakat fitrah adalah sepanjang Ramadan atau pada pagi Hari Raya iaitu sebelum mengerjakan solat sunat Aidilfitri. 

 

Di Malaysia, kadar zakat fitrah adalah bergantung pada jenis dan kualiti beras yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam negeri masing-masing.

 

Zakat harta pula terdiri daripada dua jenis harta - berbentuk kewangan dan bukan kewangan. Harta kewangan merangkumi emas, perak, aset kewangan seperti wang simpanan, saham, saham amanah, modal kerja syarikat dan seumpamanya manakala harta bukan kewangan adalah seperti hasil-hasil pertanian dan penternakan. 

 

Oleh demikian, penulis menyeru agar jika masih ada dalam kalangan muslim yang masih belum membayar zakat, silalah berbuat demikian dengan kadar segera. 

 

Ini kerana zakat adalah sedekah yang wajib dilaksana apabila cukup haul dan nisabnya. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS)
Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

utm

Portfolio Tags