Coral Intoil tuntut ganti rugi lebih RM23 juta daripada TH Heavy Engineering | DagangNews Skip to main content

Coral Intoil tuntut ganti rugi lebih RM23 juta daripada TH Heavy Engineering

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - TH Heavy Engineering Berhad (THHE) mendedahkan bahawa syarikat dengan status PN17 itu telah menerima notis Timbang Tara dari Coral Intoil Sdn. Bhd. (CISB) pada 23 Julai lalu. 

 

Ini susulan CISB menuduh THHE gagal memberikan dana diperlukan untuk syarikat usaha sama (JV) iaitu THHE Offshore Services Sdn. Bhd. yang ditubuhkan mereka sekitar tahun 2013 untuk membida projek penyambungan dan pentauliahan (Projek HUC).

 

Menurut makluman THHE di Bursa Malaysia, CISB menuntut ganti rugi berjumlah RM23.55 juta dari syarikat antara lainnya, ganti rugi am berikutan pelanggaran terma Perjanjian JV bagi Projek HUC Kinabalu bernilai RM3.20 juta. 

 

Selain itu, turut menuntut ganti rugi khas dan am akibat pelanggaran terma Perjanjian JV bagi Projek HUC Permas bernilai RM12.64 juta serta ganti rugi kecairan Projek HUC Permas bermula 1 Februari 2015 hingga 16 April 2021, berjumlah RM7.71 juta.

 

Turut dituntut faedah atas jumlah yang diberikan untuk Projek HUC Permas dan Kinabalu pada kadar 10% setahun bermula dari tarikh pemberian sehingga tarikh penyelesaian penuh.

 

“THHE menjangkakan tiada kerugian akan ditanggung daripada proses Timbang Tara itu kecuali kos peguaman dan Timbang Tara. THHE melihat tuntutan CISB menurut Notis Timbang Tara itu tidak berasas memandangkan syarikat JV telah ditutup pada 9 April 2018. 

 

“Dalam pada itu, projek HUC Kinabalu dan Permas tidak diberikan kepada THHE, tetapi anak syarikat milik penuhnya, THHE Fabricators Sdn. Bhd. 

 

“THHE buat masa ini sedang mendapatkan nasihat perundangan berhubung perkara tersebut. Syarikat akan membuat pengumuman lanjut berhubung sebarang perkembangan perkara itu dari semasa ke semasa,” jelas THHE. 

 

Pada 10 September 2013, THHE dan CISB telah memeterai perjanjian JV untuk bekerjasama dalam menjalankan projek HUC.

 

Menerusi kerjasama berkenaan, kedua-dua pihak bersetuju untuk menformalkan perjanjian tersebut supaya mereka dapat bersama-sama membida projek HUC di bawah syarikat JV.

 

Sebagai rekod, THHE merupakan cabang kejuruteraan, minyak dan gas di bawah Lembaga Tabung Haji (TH) yang mencatatkan kerugian kewangan.

 

Sementara Coral Intoil menawarkan kepakaran pembinaan dalam sektor minyak dan gas termasuk perkhidmatan perundingan teknikal dan komersial bagi semua penyediaan cadangan tender, terutama dalam minyak dan gas, HUC serta pengangkutan dan pemasangan. - DagangNews.com

 

BACA JUGA :

 

TH Heavy Engineering mesti siapkan kapal peronda maritim Ogos 2022
 

TH Heavy Engineering lantik Abd Aziz sebagai pengerusi