Dr Amina mempesona, Cat Stevens pula cetus rasa teruja | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 01 Apr 2021 07:30 AM

Dr Amina mempesona, Cat Stevens pula cetus rasa teruja

 

 

DR MAHATHIR MOHAMAD masuk ke bilik mesyuarat untuk mendengar penjelasan mengenai Dubai Internet City dari Muhammad Gergawi dan Ahmad bin Byat. Disertai oleh rombongan Dr Mahathir.

 

Saya enggan memasuk bilik mesyuarat dan berbual dengan beberapa orang yang mengikuti Dr Mahathir. Kami berbual kerana Dr Mahathir berada hampir tiga jam dengan pelbagai soalan. Dr Mahathir begitu serius dengan kejayaan Dubai Internet City berbanding dengan Cyberjaya.2

 

Setelah perjumpaan itu, Dr Mahathir balik dan semua bersalaman dengan saya. Sekali lagi Mokhtar AlBukhary bertemu dengan semua bilionair dan termasuk pengerusi TV3 yang agak malu-malu.

 

MINGGU LEPAS : Ketibaan Dr Mahathir ke Dubai Internet City pada April 2001

 

Saya kembali dengan 1stdubaiinternetcity untuk pembukaan. Terus bertungkus-lumus.

 

Dalam waktu itu ada seorang pengurus baru masuk. Namanya Dr Amina Al Rustamani dan dia duduk sebelah saya. Seorang emarati yang baru baru balik dari Amerika setelah habis PhD di Universiti George Washington dan bekerja beberapa tahun di Amerika. Masih bujang (ketika itu).

 

dr amina
Dr Amina Al Rustamani

 

Saya terlihat nama keluarga beliau yang agak terkenal di UAE.

“Apakah awak anak Rustamani?”

Dr Amina tersenyum dan mengangguk.

 

Wow. Anak seorang bilionair dan antara keluarga yang terkaya di UAE yang terkenal.

“Kerja apa di Dubai Internet City?” tanya saya.

“Saya ada PhD dalam komunikasi satelit dan disuruh mencari satelit,kata Dr Amina ketawa.

 

Satelit? Ini adalah perubahan yang menarik. Saya tidak pernah bekerja di TV3 untuk mendapatkan saluran satelit. Dr Amina mengajak makan dan saya mengikut. Dr Amina berkata dia mengambil kereta kerana parkir agak jauh dan meminta saya menunggu.

 

Setelah beberapa minit kemudian ada sebuah Mercedes-Benz sport berhenti. Saya melihat dengan bersahaja. Kemudian tingkap dibuka, terlihat Dr Amina yang tersenyum. Saya terkejut.

 

Kami berkawan dan sebulan kemudian datang seorang lelaki bergelar Doktor dari India bekerja di bawah Dr Amina yang bertanya kepada saya mahukah saya menyertainya?

 

Saya teruja walaupun tidak tahu menahu mengenai satelit. Saya memikirkannya.

 

wainouimata
Pemandangan dari udara Dubai Internet City

 

Saya terus dengan 1stdubaiinternetcity yang dibuka rasmi oleh Ahmad bin Byat. Setelah enam bulan akhirnya terlaksana dengan ramai pelanggan menunggu. Ramai ingin bekerja dan saya memilih seorang gadis Filipina yang cantik kerana campuran dengan Sepanyol dan gadis dari Maghribi yang juga cantik. Keduanya baik dengan saya sehingga teman lelaki berasa cemburu dengan persahabatan kami.

 

Hari itu saya tiada kerja, termenung sekejap. Duduk di tingkat satu menghadap bawah. Ofis saya kubikal. Bilik bos hanya sebuah, yang lain kubikal. Tingkat bawah adalah terbuka boleh nampak dari atas. Saya duduk melihat tingkat bawah yang kosong. Saya membaca akhbar yang baru tiba.

 

Tiba-tiba ada seorang masuk. Saya melihat lelaki itu yang seolah hilang punca. Dia melihat sekeliling. Mencari-cari. Tiada sesiapa mahu melayan.

 

Saya pun turun melalui lif. Saya jadi terkejut melihat lelaki itu. Benarkah? Saya melihat hanya gambar-gambar. Mukanya seolah-olah orang yang sama.

 

“Are you Cat Stevens?”

Lelaki itu tersenyum. Memandang saya. Senyumannya manis.

“I guess so!”

 

wainouimata
CAT STEVENS atau Yusuf Islam

 

Saya terperanjat. Tidak tahu apa nak buat. Cat Stevens adalah penyanyi pujaan saya. Lagu-lagu jadi kesukaan. ‘Father and son” jadi pujaan dan banyak lagi. Dia sentiasa segar dalam ingatan.

 

Dia datang pagi-pagi ke pejabat. Saya seorang diri menyambutnya. Satu kebetulan? Saya lantas menyuruh Cat Steves duduk. Memberitahu ofis dibuka jam 8. Lagi 45 minit.

 

Tetapi saya boleh melayan beliau. Walau bukan tugas saya. Saya waktu itu sebagai pengurus perancang dan strategi bisness Dubai Internet City.

 

Cat Stevens faham. Dia datang awal kerana bangun pagi dan tidak tahu apa hendak dibuat. Hotelnya berdekatan sahaja. Lantas saya bertanya apa yang beliau mahu.

 

Dia diam. Memandang saya. Kemudian berkata dia mahu membuka syarikat untuk mengatur perjalanan hidupnya. Dia memilih Dubai kerana cukai percuma dan banyak tawaran lain kerana masih baru. Dubai menawarkan bebas dari cukai.

 

Saya tersenyum. Pihak syarikat, Dubai Internet City memang membuat tawaran pelbagai inisiatif dalam mencari pelabur luar. Kami telah berjaya mendapat Oracle, Sun, Microsoft dan pelbagai syarikat besar di dunia untuk pindah ke Dubai.

 

wainouimata
BANGUNAN Microsoft di Dubai

 

Microsoft misalnya mengambil satu bangunan untuk memindah operasi dari Seattle. Bangunan enam tingkat dengan 200 orang pekerja. Pelbagai syarikat mengikuti. Waktu itu Dubai Internet City membina banyak bangunan daripada bangunan asal 3 buah.

 

Kami telah siap 3 bangunan. Termasuk ibu pejabat Dubai Internet City sebangunan. “Itu kerja saya!”

 

Saya terus melontarkan hujah. Memang kerja saya berhubung dengan syarikat-syarikat untuk merancang dan strategi bisnes mereka. Saya dengan syarikat TV Arab terbesar, MBC telah membeli satu bangunan di Dubai Media City. Berpindah dari London. Itu adalah perpindahan terbesar stesen TV melibatkan sebuah syarikat yang besar. Saya telah bekerja rapi untuk hal itu dan berjaya memindahkan MBC dalam masa 3 bulan.

 

Saya terus bertanya kalau-kalau dia menyerahkan tugas itu kepada saya. Saya tidak mengharapkan sesuatu. Bekerja secara percuma, untuk Cat Stevens. Saya tidak mengharapkan upah. Gaji saya cukup baik.

 

Cat Stevens terus bersetuju tanpa persoalan dan pertanyaan. Dia belum kenal saya, tetapi terus bersetuju secara langsung. Dia tidak langsung bertanya peribadi saya, mungkin ada kelemahan. Banyak kelemahan.

 

Adakah saya layak untuk mengatur segalanya? Saya terfikir juga. Tetapi Tuhan telah mengaturkan. Dia begitu sibuk dengan kerja dakwah. Tiada masa untuk bisnes. Dia bekerja di seluruh dunia. Dia mahu pindah dari England untuk mengelakkan cukai. Dubai adalah tempat yang sesuai.

 

Saya teruja. Dia meminta saya membuat perancangan, bajet dan sebagainya. Kalau boleh seminggu dua. Dia akan pergi ke Amerika Syarikat. Mengharapkan saya berbuat apa yang disuruh.

 

Dia tidak ada masa. Pertama kali datang ke Dubai. Orang yang pertama dia jumpa adalah saya. Sungguh sesuai. Tuhan punya kuasa untuk menemui saya dengan Cat Stevens.

 

wainouimata
CAT Stevens semasa muda dan gambar terkini beliau.

 

Saya tidak bermimpi langsung untuk bertemunya. Apalagi seorang diri di pejabat Dubai Internet City, syarikat terbesar Dubai waktu itu. Terkenal dengan glamour. Pekerja-pekerja yang profesional.

 

Kami bertukar nombor telefon dan alamat emel. Dalam setengah jam, Cat Stevens telah dapat apa dia mahu. Dia meminta izin untuk pergi. Jam masih belum pukul lapan dan ofis masih kosong. Tiada orang mengenali Cat Stevens. Kami berdua sahaja.

 

Saya menghantar beliau. Saya masih dalam mimpi bertemu Yusuf Islam atau Cat Stevens!

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

BACA JUGA WAINUIOMATA : Aktif gerakan reformasi 1999, TV3 buang kerja!!!

dan

Polis SB cam penyokong reformasi di Dubai

Dr Othman Yeop beritahu, Dr Mahathir akan datang melawat Dubai

Gergawi tanya : Are you on the take?

Sheikh al Maktoum bagi tugasan mendadak