Bulan Kemenangan dan Nostalgia Aidilfitri | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 26 Apr 2023 07:00 AM

Bulan Kemenangan dan Nostalgia Aidilfitri

 

 

 

HARI ini masuk 5 Syawal 1444H. Masih terngiang-ngiang khutbah Aidilfitri yang disampaikan oleh khatib berkenaan ujian sebenar yang bakal ditempuhi oleh umat Islam pada bulan Syawal serta seterusnya serta nostalgia Aidilfitri yang mengingatkan jemaah yang hadir untuk mengembalikan dan mengeratkan silaturahim.

 

Syawal Bulan Kemenangan, Bulan Seterusnya Menguji Ketakwaan

Sesungguhnya memang tidak disangkal lagi yang bulan Syawal adalah ujian buat umat Islam sama ada kita mampu meneruskan amal ibadat yang dijalankan semasa bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

 

Ini kerana pada bulan Ramadan, Allah SWT telah mensyariatkan untuk semua umat Islam yang memenuhi syarat sah untuk berpuasa.

 

Seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, Ayat 183:

"Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu sekalian puasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu sekalian bertakwa".

 

Jelas di sini, berpuasa bukan setakat hanya menahan lapar dan dahaga tetapi antara tujuan lainnya adalah untuk meneguhkan ketakwaan dalam diri. Takwa, mengikut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mempunyai banyak maksud.

 

Antaranya adalah, dari Sayidina Ali RA berkata:

“Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Reda dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan.”

 

Apabila menyentuh tentang takwa, sebenarnya ia berkait rapat dengan sifat sabar atau kesabaran. Seperti apa yang disampaikan oleh khatib dalam khutbah Aidilfitri; adakah kita mampu terus bersabar sebagaimana kita mampu bersabar di bulan Ramadan bagi mengelak dari melakukan perkara sia-sia yang boleh mengurangkan dan menghilangkan pahala ibadah puasa?

 

Inilah yang dimaksudkan sebagai ujian dan cabaran buat kita sebagai umat Islam selepas berakhirnya bulan Ramadan. Dunia ini adalah medan pelbagai ujian yang dinamik, ada yang menyenangkan dan ada yang mengecewakan. Ini tidak lain tidak bukan sebenarnya mendidik kita untuk menjadi lebih sabar.

 

Sebagai manusia, kita tidak terlepas dari menerima ujian di atas dunia ini, ada yang diuji dengan harta, ada yang diuji dengan masalah keluarga, ada yang diuji dengan ujian keimanan dan pelbagai lagi bentuk ujian dalam bentuk berbeza-beza.

 

Oleh itu, sabar dan takwa adalah dua unsur yang sangat penting dalam menghadapi pelbagai  ujian kehidupan. Ingat! Allah SWT menguji hambanya bukan tanpa sebarang.

 

Sebagai umat Islam, kita mesti yakin dengan takdir dan senantiasa percaya bahawa ketetapan Allah SWT adalah yang terbaik.

 

Pasti ada hikmah di sebalik segala ujian yang  diturunkan dan barang siapa yang mampu bersabar dengan ujian, nescaya mereka akan mampu melihat hikmah yang disingkap rahsianya oleh Allah SWT.

 

Buktinya Allah SWT mengaitkan sabar dan takwa dalam beberapa ayat al-Quran yang berhubungan dengan pelbagai ujian yang dihadapi oleh manusia.

 

Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertakwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.

Surah Ali Imran, Ayat 120

 

 

wainuiomata

 

 

Nostalgia Aidilfitri Tidak Akan Padam

Mungkin sambutan Aidilfitri kali ini tidak akan sama berbanding sebelumnya buat sesetengah insan. Sambutan Aidilfitri takkan sama dan tidak akan pernah sama tanpa orang tersayang.

 

Tidak kira sama ada kita kehilangan orang tersayang disebabkan wabak penyakit, kemalangan, bencana mahupun ajal. Sudah pasti sambutan Aidilfitri kali ini tanpa mereka hanya tinggal kenangan.

 

Berbalik kepada khutbah Aidilfitri, masih teringat bagaimana khatib menjadi sebak dan sedih apabila menyampaikan hal ini. Ramai jemaah yang hadir turut terkesan – berasa sebak serta sedih.

 

Antara pesanan khatib dalam khutbahnya, hargailah orang tersayang semasa mereka masih hidup. Jadikan Aidilfitri ini sebagai medium untuk mengeratkan dan mengembalikan hubungan silaturahim.

 

Jangan kerana ada sengketa dan salah faham lalu, hubungan silaturahim terutamanya dikalangan adik beradik terputus. Imbau kembali saat manis masa lalu apabila semua berasa gembira menyambut Aidilfitri bersama.

 

Semuanya adalah nostalgia Aidilfitri yang akan tetap kekal sebagai kenangan.

 

Bagi setiap orang, nostalgia Aidilfitri mereka mungkin berlainan. Tetapi, yang pasti mungkin ramai mengalami pengalaman yang sama antara sedar atau tidak sedar sahaja.

 

Betapa besarnya pengorbanan orang tersayang terutamanya bapa atau ibu atau kedua-duanya yang cuba melakukan persiapan terbaik supaya anak-anak mereka bahagia, gembira serta ceria menyambut Aidilfitri.

 

Semua keperluan anak-anak diutamakan terlebih dahulu terutamanya menyediakan pakaian baharu yang dipakai menjelang pagi raya dan tidak lupa juadah raya. Sehingga ada dikalangan mereka sendiri tidak membeli pakaian baharu buat diri mereka.

 

Bagi mereka anak adalah segalanya – demi kebahagiaan di Aidilfitri.

 

 

parafrasa

 

 

Kini, ada antara kita yang berkemampuan tetapi lalai. Pernahkah kita bertanya diri sendiri…. Adakah kita pernah melakukan pengorbanan yang sama seperti apa yang mereka lakukan pada kita dahulu?

 

Adakah kita lupa apabila kita berjaya, kita perlu meletakkan mereka dahulu, memberi mereka segala keperluan dan cuba membuatkan mereka berasa gembira.

 

Mereka sudah tentu tidak akan meminta-minta. Bukan kerana mereka malu mahupun segan tetapi tidak mahu menyusahkan anak-anak mereka.

 

Sebagai seorang anak, apa salahnya kita menghargai jerih perih mereka dengan mengutamakan dan meletakkan mereka dahulu sebelum diri sendiri.

 

Sama ada mereka pergi dulu atau kita pergi dulu? Kita tidak akan tahu bila ajal akan menjemput. Oleh itu semasa kita masih hidup, hargailah pengorbanan ibu bapa dengan cuba memberikan yang terbaik sekurang-kurangnya sama dengan apa yang pernah mereka lakukan dulu.

 

Janganlah sampai kita menyesal di kemudian hari. - DagangNews.com

 

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN