Google Bard: Bangkit menyaingi dominasi ChatGPT | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 17 May 2023 07:00 AM

Google Bard: Bangkit menyaingi dominasi ChatGPT

 

 

SELEPAS gagal menarik perhatian semasa pelancarannya dan ditunjuk pintu keluar. Kini! Google Bard kembali membayangi pesaingnya iaitu ChatGPT.

 

Setelah dilancarkan dua bulan lalu untuk pengguna terpilih di Amerika Syarikat dan United Kingdom, Google Bard pada masa ini telah tersedia dan boleh di akses secara meluas dalam bahasa Inggeris di 180 negara.

 

Sebelum ini pada majlis pengenalannya, Google Bard, telah memberikan maklumat yang tidak tepat dalam demo awam pertamanya menyaksikan saham syarikat induk Google iaitu Alphabhet Inc merosot dan menjunam sebanyak 7.68 peratus.

 

Kesilapan itu juga menyebabkan syarikat induk itu kehilangan lebih daripada AS$100 bilion dalam nilai pasaran dalam satu hari, mencerminkan kehilangan keyakinan terhadap keupayaan Google untuk memacu era AI yang menjulang.

 

Pelancaran chatbot Bard ketika itu dilihat seperti tergesa-gesa yang menimbulkan persepsi bahawa Google ketinggalan dari segi teknologi dan ramai beranggapan yang Google berada dalam tekanan persaingan kecerdasan buatan (AI) apabila OpenAI yang disokong oleh Microsoft memperkenalkan ChatGPT.

 

ChatGPT yang tular ketika itu dilihat sebagai revolusi teknologi yang mempunyai potensi untuk mengganggu dan mengalih keseimbangan kuasa carian yang disediakan oleh Google termasuk perniagaan pengiklanan carian yang menguntungkan.


 

Eksponen

 


Mengenali Bard

Bard telah dibangunkan dan dibina di atas ‘model bahasa besar’ atau Large Language Model (LLM) tersedia Google iaitu LaMDA akronim untuk "Language Models for Dialogue Applications" yang dikatakan begitu mirip seperti manusia dalam memberi respons. Tetapi, malang menimpa, di mana di awal kemunculannya, ia telah melakukan kesilapan fakta dalam memberi respons.

 

Selepas kurang daripada dua bulan, pada 10 Mei di acara Google I/O 2023, Google telah memperkenalkan kemaskini baharu kepada Bard. Ia kini telah dikemaskini dengan menggunakan LLM baharu dan dikatakan paling maju iaitu PaLM (Pathway Language Model) 2 dalam usaha untuk menggoyahkan dominasi ChatGPT.

 

PaLM 2 merupakan generasi kedua yang mempunyai keupayaan lebih baik dalam pelbagai bahasa, penaakulan serta pengaturcaraan sejak diperkenalkan pada bulan April tahun lepas. Ia telah dilatih dengan lebih 100 bahasa dan pelbagai domain seperti matematik, sains, pengaturcaraan, sastera dan lain-lain.

 

Ia menggunakan set data yang di susun untuk menapis teks tidak berkualiti dan berbahaya seperti spam, kenyataan berbaur hasutan serta maklumat palsu atau tidak tepat. PaLM 2 juga menggunakan teknik yang dipanggil sebagai ‘pembelajaran laluan’ yang membolehkannya belajar daripada pelbagai sumber maklumat kemudian menggabungkannya logik.

 

Tidak terhad dengan itu, ia juga boleh menterjemah bahasa, menulis kod pengaturcaraan komputer, melakukan analisis serta bertindak balas terhadap imej. Dengan menggabungkan keupayaan tersebut, pengguna boleh bertanya soalan dalam bahasa Inggeris seperti mengenai ‘kedai kopi yang popular di Segamat, Johor’.

 

Sistem akan mula melakukan pencarian di laman web dalam usaha memberi respons terhadap pertanyaan – kedai kopi popular Segamat, Johor, mencari jawapan, kemudiannya menterjemah jawapan ke dalam bahasa Inggeris serta menambah gambar serta lokasi – dan kemudian membuat susulan dengan coretan kod untuk membina entri pangkalan data untuk tempat tersebut.

 

Bard Membayangi Pesaing

Adalah adil untuk mengatakan bahawa Google tewas pada awalnya apabila Microsoft membuat pelancaran carian Bing yang dikuasakan oleh ChatGPT. Bangkit tidak mahu menyerah, Google telah memperkenalkan Search Labs sebagai cara baharu untuk pengguna menguji idea baharu dan berani yang sedang mereka terokai dalam enjin carian.

 

Buat masa ini, terdapat tiga ciri utama yang tersedia untuk masa yang terhad. Yang pertama dipanggil sebagai Pengalaman Penjanaan Carian (SGE), membawa generative AI terus ke dalam enjin carian Google.


 

Eksponen

 


Ia boleh dianggap sebagai satu peningkatan terbesar yang dibuat oleh Google ke atas laman webnya selepas bertahun-tahun. Meskipun, bukanlah sesuatu yang baru kerana Microsoft lebih awal menyepadukan AI Bing dalam enjin cariannya. Tetapi bagi pengguna yang telah biasa dan lebih gemar menggunakan pelayar web Google Chrome berbanding Microsoft Edge, ciri ini patut di berikan perhatian.

 

Dengan enjin carian yang dipertingkatkan menggunakan generative AI, halaman utama laman web Google dan kotak carian juga masih kelihatan sama. Ia tidak seperti Bing! Yang mempunyai kotak carian sebesar kotak penulisan ciapan Twitter.

 

Yang membezakan kedua chatbot ini adalah respons, Google akan memaparkan jawapan yang dijana oleh AI dan juga dengan jelas memberi peringatan kepada pengguna yang jawapan diberikan adalah percubaan atau AI eksperimen – Generative AI is experimental.

 

Berhampiran bahagian atas halaman, jawapan diberikan akan berada di kedudukan paling atas seperti berada di dalam ‘kotak’ yang menunjukkan apa yang ditemui oleh AI, betul-betul berada di bawah kotak carian.

 

Google memanggil ‘kotak’ ini yang mengandungi "maklumat penting” yang perlu dipertimbangkan, menunjukkan dari mana jawapan diambil berserta dengan pautan tambahan untuk pengguna mendapatkan maklumat atau jawapan yang lebih mendalam. Pengguna juga boleh membuat susulan dengan mengemukakan soalan tambahan.

 

Selain integrasi AI dalam enjin carian, juga tersedia adalah “Code Tips” yang menggunakan LLM untuk menyediakan coretan dan petunjuk untuk menulis kod dengan lebih pantas dan lebih pintar. Ini termasuk Java, Go, Python, Javascript, C++, Kotlin, Shell, Docker dan Git.

 

Akhir sekali, yang ketiga adalah "Add to Sheets" yang membolehkan pengguna memasukkan hasil carian terus ke dalam Google Sheets. Google juga menyatakan akan memanfaatkan AI yang dibangunkan dan bakal digunakan dalam 25  produk mereka. 

 

Masalah Bard dan Chatbot Lain

Walaupun Google mengatakan ia telah menambah baik Bard dengan melakukan kemas kini, masih terdapat isu utama yang membelenggu chatbot Google ini.


 

parafrasa

 


Sebagai contoh, sesetengah pakar mula mempersoalkan kesahihan data yang digunakan untuk mencipta model ini (termasuk chatbot lain). Kebiasaannya data yang digunakan diambil dari internet dan yang menjadi masalah adalah teks, artikel, buku digital cetak rompak yang dilindungi hak cipta digunakan sebagai sumber data latihan.  Tetapi Google masih tidak terbuka pada isu ini.

 

Terdapat juga masalah yang wujud pada respons seperti ‘halusinasi’ atau kecenderungan model untuk mencipta maklumat sendiri yang palsu. Halusinasi berlaku apabila model AI menjana output yang menyimpang daripada apa yang dianggap normal atau dijangka berdasarkan data latihan yang telah dilihatnya.

 

Walaupun ‘halusinasi’ AI boleh menyebabkan beberapa output visual yang menghiburkan, respons halusinasi yang tidak tepat yang meyakinkan boleh membawa kepada apa sahaja daripada salah faham kepada maklumat yang salah.

 

Buat masa sekarang, tiada satu pun chatbot yang mempunyai kesempurnaan. Penggunaan sama ada Bard mahupun ChatGPT sebenarnya bergantung kepada keperluan pengguna itu sendiri.

 

Sekiranya pengguna memerlukan LLM yang bagus dalam penaakulan dan logik, dengan butang "Google It", maka PaLM 2 adalah pilihan yang lebih baik. Sekiranya pengguna memerlukan LLM yang cepat, pandai menjana teks dan telah terbukti, maka ChatGPT, GPT-4 adalah pilihan yang lebih baik.

 

Yang pasti hingga kini masih tiada model yang mencapai kesempurnaan. Kemunculan semula Google Bard boleh dilihat sebagai ancaman serta menganggu gugat dominasi yang dimiliki oleh ChatGPT!  - DagangNews.com

 

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN