Magis Gelombang Sine dalam Analisis Teknikal
SESUNGGUHNYA ilmu itu amat luas, walaupun berbeza bidang tetapi sebenarnya mempunyai banyak persamaan. Cuma, ia dibahasakan dalam bahasanya tersendiri mengikut bidang.
Pada minggu lepas, ada rakan sekerja dari berlainan bidang bertanya tentang Gelombang Sine yang perlu beliau ajar kepada pelajar yang mengambil jurusan Sains Komputer.
Semasa membaca nota pengajaran yang disediakan oleh beliau, baru saya teringat yang Gelombang Sine ini juga turut terkandung dalam analisis teknikal yang digunakan oleh sebilangan kecil pedagang saham untuk mengenal pasti permulaan dan penamat corak pergerakan harga.
Selain itu wujud kemungkinan berlakunya perubahan dalam corak pergerakan harga – merujuk kepada corak pembalikan – dari pergerakan harga menaik ke menurun atau pergerakan harga menurun ke menaik.
Penunjuk Teknikal Gelombang Sine
Terdapat banyak penunjuk teknikal yang ada dalam analisis teknikal, bermula dari huruf A sehingga Z dan daripada yang mudah kepada yang kompleks. Ada sebilangan penunjuk ini digunakan secara meluas dalam perdagangan saham dan yang pasti banyak penunjuk teknikal tidak popular kerana hanya digunakan oleh sebilangan kecil pedagang saham.
Salah satu penunjuk teknikal yang kurang popular dan jarang digunakan secara meluas adalah penunjuk Gelombang Sine. Penunjuk ini boleh dianggap antara salah satu penunjuk teknikal yang unik, digunakan oleh sebilangan kecil pedagang saham untuk mengenal pasti corak pergerakan harga saham semasa serta membantu dalam membuat keputusan jual beli saham.
Gelombang Sine atau lebih dikenali sebagai Hilbert Sine Wave Indicator, telah dibangunkan oleh John Ehlers. Ia pertama kali diperkenalkan dalam bukunya yang bertajuk "Rocket Science for Traders".
Penunjuk teknikal ini telah dibangunkan berdasarkan ilmu matematik lanjutan dan digunakan untuk menunjukkan sama ada pasaran saham berada dalam corak pergerakan harga (trending) atau dalam corak kitaran (cycle).
Gelombang Sine ini mempunyai bentuk gelombang geometri yang berayun – bergerak ke atas, ke bawah atau dari sisi ke sisi secara berkala. Ia dapat ditakrifkan oleh fungsi matematik, y=sin (x). Dalam erti kata mudah, Gelombang Sine adalah gelombang yang berbentuk seperti huruf “S” tetapi dalam keadaan terbalik yang bergerak turun dan naik di atas dan di bawah garis sifar.
Memahami Gelombang Pergerakan Harga Saham dan Kitaran Pasaran
Harga pasaran saham seperti yang dinyatakan dalam andaian asas analisis teknikal, sering bergerak secara tetap dan berulang-ulang atau bergerak dalam corak pergerakan harga menaik atau menurun yang kelihatan seperti satu siri gelombang.
Setiap satu siri gelombang pula mempunyai ketinggian dan bergerak dalam satu tempoh masa tertentu. Apabila gelombang tersebut sama atau hampir sama dari satu gelombang ke satu gelombang yang lain (gelombang ini secara konsisten berkadar antara satu sama lain), corak pergerakan harga ini dipanggil sebagai kitaran.
Boleh dikatakan yang kitaran pasaran saham dan kitaran ekonomi mempunyai kitaran yang sama tetapi dialunkan dalam bahasanya tersendiri. Kenapa? Ini kerana kitaran pasaran saham sebenarnya adalah cerminan kepada kitaran ekonomi tetapi lebih ke hadapan.
Seperti andaian asas analisis teknikal, pertamanya, harga saham terkini adalah berdasarkan maklumat yang tersedia dan boleh dicapai oleh semua sama ada yang telah berlaku, sedang berlaku dan bakal berlaku pada masa hadapan.
Apa yang bakal berlaku pada masa hadapan merujuk kepada jangkaan sama ada harga saham akan naik atau turun berdasarkan maklumat yang belum berlaku tetapi dijangkakan bakal berlaku seperti – Bank Negara Malaysia dijangkakan akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada bulan Julai.
Oleh itu, apabila OPR naik seperti yang dijangkakan oleh penganalisis ekonomi, ia akan menyebabkan perubahan pelaburan dari pasaran saham ke pasaran lain – merujuk kepada pasaran hutang atau pasaran instrumen bersandarkan kadar faedah yang sudah tentu memberi pulangan yang lebih baik.
Dapat disimpulkan di sini bahawa sebarang perubahan atau kenaikan kadar faedah akan memberi kesan ke atas pasaran saham secara serta-merta. Tetapi, untuk kesan terhadap keseluruhan ekonomi, ia mungkin mengambil masa untuk melihat sebarang kesan yang lebih meluas. Kadar faedah yang lebih tinggi cenderung memberi kesan negatif kepada pulangan dan harga saham kecuali terhadap sektor kewangan.
Berbalik kepada kitaran, dalam konteks ekonomi dan kewangan, kitaran pasaran boleh dikatakan, semuanya kelihatan sama dan hampir sama. Ia bermula dengan pergerakan harga yang berterusan, bermula pada tahap harga yang rendah, kemudian membentuk benjolan semisfera dan kembali kepada bentuk simetri yang sama atau hampir sama, berlaku berulang kali dari masa ke masa.
Seperti yang dinyatakan di atas, kitaran ini sebenarnya terdiri daripada gelombang!
Oleh itu tidak pelik, sekalipun sebagai bukan pedagang saham, gelombang Sine banyak berlaku sepanjang masa dalam senario kehidupan sebenar – gelombang radio, pasang surut laut, nada muzik dan arus elektrik.
Untuk membezakan antara kitaran dan gelombang pula, kitaran mempunyai pergerakan yang berulang. Gelombang, sebaliknya, ia boleh menjadi besar atau kecil, pada jangka masa yang pendek atau panjang, bergerak sama ada secara rawak atau teratur.
Baik penganalisis pasaran saham mahupun pedagang saham, mereka tidak tahu bila gelombang akan bermula dan sejauh mana ia akan pergi. Ini sama sekali berlainan dengan kitaran, pergerakan menaik atau menurun biasanya bergerak dalam keadaan teratur dan boleh dikatakan lebih tersusun. Kitaran dilihat lebih mudah untuk diramal – kitaran digunakan oleh pedagang saham untuk membuat ramalan apa yang akan berlaku terhadap pergerakan harga pada masa hadapan.
Mengenali Pergerakan Pasaran Menggunakan Gelombang Sine
Gelombang Sine menggunakan algoritma, yang pada asalnya digunakan untuk pemprosesan isyarat digital. Ia digunakan untuk mengukur jumlah tenaga kitaran dalam aliran data. Dalam konteks pasaran saham, aliran data ini merujuk kepada aliran pergerakan harga pasaran.
Penunjuk Gelombang Sine terdiri daripada dua garisan pergerakan gelombang iaitu Gelombang Sine dan Gelombang Petunjuk. Berdasarkan pergerakan dua gelombang ini, ia boleh digunakan untuk mengetahui sama ada pasaran saham berada dalam corak pergerakan harga atau dalam kitaran.
Apabila kedua-dua gelombang menyerupai gelombang Sine, ia menunjukkan yang pasaran saham sekarang berada dalam kitaran. Dan, bilamana kedua gelombang ini mula bergerak secara berkeliaran, ia menunjukkan pasaran saham sekarang berada dalam corak pergerakan harga.
Semasa berada dalam corak pergerakan harga, Gelombang Sine dan Gelombang Petunjuk pada kebiasaannya bergerak dalam corak sisi berhampiran dengan nilai sifar, bergerak secara selari dan menjauhi dari satu sama lain.
Dalam menjana isyarat jual beli, pertembungan atau lintasan yang berlaku antara dua garisan pergerakan gelombang diperlukan. Isyarat beli dijana apabila Gelombang Sine melintas di atas Gelombang Petunjuk manakala isyarat jual pula dijana apabila Gelombang Sine melintas di bawah Gelombang Petunjuk. Ia juga memberikan petunjuk lanjutan yang jelas mengenai titik perubahan kitaran pasaran saham.
Apa yang menjadikan penunjuk ini unik, ia membezakan antara aktiviti harga kitaran dan corak pergerakan harga. Semasa tempoh berlakunya corak pergerakan harga, ia tidak memaparkan ciri kitaran dan kedua garisan gelombang tidak akan melintas antara satu sama lain serta kedua garisan pergerakan gelombang kelihatan tidak selaras.
Keunikan lain yang ada pada penunjuk Gelombang Sine, ia juga boleh digunakan untuk menentukan struktur pasaran dalam jangka masa apa pun sama ada carta pergerakan harga yang menggunakan data dalam bentuk minit, jam, harian, mingguan serta bulanan.
Ia juga berfungsi sama seperti penunjuk teknikal yang lain, boleh diguna pakai untuk sebarang instrumen atau pasaran.
Meskipun penunjuk Gelombang Sine ini tidak begitu popular seperti penunjuk teknikal yang lain dalam kalangan komuniti pedagang saham. Boleh dikatakan bahawa penunjuk Gelombang Sine ini adalah penunjuk "sejagat" yang unik dan berguna untuk pedagang saham dalam membuat keputusan perdagangan yang lebih baik.
Magis Penunjuk Teknikal
Ingat! Penunjuk teknikal bukan magis yang menjamin kejayaan dan kekayaan dalam perdagangan saham. Sebaliknya, ia adalah alat yang digunakan untuk membuat ramalan dan keputusan perdagangan berdasarkan analisis pergerakan harga saham di pasaran.
Sebilangan penunjuk teknikal adalah lebih baik daripada penunjuk yang lain, dan boleh dikatakan hampir semua penunjuk teknikal bekerja lebih baik pada masa tertentu berbanding pada masa lain!
Sebagai penganalisis teknikal dan pedagang saham, amatlah penting untuk menilai semula pergerakan dan tindakan harga semasa saham dalam usaha untuk menentukan sama ada isyarat penunjuk teknikal yang diberikan adalah sah atau tidak. – DagangNews.com