Oh Beras MADANI! Macam mana boleh MAHAL?
KERAJAAN sebelum ini berjanji untuk memberikan komitmen dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat. Tetapi sekarang, tindakan yang diambil, semuanya seolah-olah bertentangan dari apa yang dijanjikan.
Mana tidaknya, tindakan kontroversi kerajaan dalam memperkenalkan Beras Putih Malaysia MADANI sebagai kategori tunggal dalam pasaran tempatan telah menimbulkan kegusaran dan mengundang kritikan dalam kalangan rakyat.
Dengan pengenalan beras baharu berserta kenaikan harga, jarang kita melihat kerajaan dengan bangganya mengumumkan perubahan yang membebankan rakyat.
Macam kelakar pun ada!
Pengenalan Kontroversi Beras Putih MADANI
Beras Putih MADANI telah diperkenalkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Makanan di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, pada sidang media berhubung isu harga beras di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong.
Pengenalan Beras Putih Malaysia MADANI, yang awalnya dipromosikan sebagai langkah untuk menyelaraskan semula sistem pengedaran beras negara, telah menimbulkan persoalan tentang keperluan serta kesan yang bakal dialami oleh rakyat.
Kenapa Perlu Menyusahkan Rakyat?
Beras merupakan makanan asas bagi kebanyakan rakyat Malaysia, terutamanya golongan berpendapatan rendah. Oleh itu, keputusan yang berkaitan dengan harga dan ketersediaan beras mempunyai impak yang besar terhadap kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.
Semasa sidang media, pengumuman bahawa Beras Putih Malaysia MADANI akan dijual pada harga RM30 untuk setiap 10 kilogram menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan rakyat mengenai kesan terhadap golongan berpendapatan rendah.
Kenaikan harga beras yang boleh dianggap naik secara mendadak dan tiba-tiba, tanpa penjelasan yang memuaskan, telah menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
Kini, golongan ini terpaksa menghadapi beban kewangan tambahan yang tidak dijangka. Kritikan dan kebimbangan rakyat terhadap langkah ini adalah bukan sesuatu yang boleh diabaikan oleh pihak kerajaan.
Sudah tiba masanya bagi kerajaan peka, mendengar dengan lebih teliti suara rakyat dan bertindak mengikut keperluan mereka. Langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan perlu dinilai secara kritis dan bersifat proaktif, dengan mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat tanpa kompromi.
Perbandingan dengan Harga Beras SST dan SSI
Ketidakpastian mengenai status sebenar Beras Putih Malaysia MADANI menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat. Terdapat kebimbangan bahawa harga beras putih Malaysia MADANI yang diumumkan mungkin tidak kompetitif dengan beras putih tempatan (SST) yang dijual ketika ini dengan harga RM26 atau beras putih import (SSI) yang dijual pada harga RM40 bagi setiap kampit 10 kilogram.
Adakah beras ini sama seperti beras SST atau merupakan hybrid, campuran beras SST dan beras SSI? Jika sama seperti SST, mengapa harga semakin mahal? Apa penjelasan dari pihak kerajaan?
Tanpa penjelasan yang tepat daripada pihak berkuasa mengenai sumber beras yang digunakan dan implikasi harga bagi setiap kategori, rakyat terus merasakan bahawa mereka sebenarnya diabaikan dan janji sebelum ini hanyalah sekadar retorik politik.
Apa yang menambah kegusaran adalah pengumuman pemansuhan beras SST dan beras SSI, yang akan digantikan oleh beras putih Malaysia MADANI.
Berdasarkan laporan media, Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin, menyatakan bahawa keputusan untuk memansuhkan kategori SST dan SSI dengan tujuan menjadikan beras putih Malaysia MADANI sebagai kategori tunggal adalah tidak jelas. Hal ini menimbulkan keraguan mengenai harga dan kualiti beras yang akan dipasarkan kepada pengguna.
Dah diumumkan, Kenapa Nak “U-Turn”?
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan jaminan bahawa kerajaan sedang mengkaji langkah-langkah untuk mengurangkan beban rakyat dalam isu kenaikan harga beras.
Anwar menjelaskan bahawa mesyuarat NACCOL yang sepatutnya berlangsung telah ditangguhkan ke minggu hadapan atas sebab-sebab yang mendesak. Meskipun begitu, beliau menegaskan bahawa mesyuarat tersebut akan membincangkan beberapa cadangan sebelum membuat keputusan muktamad mengenai harga kawalan beras.
Beliau turut menegaskan kepentingan untuk menyelidik perolehan beras, pemberian kontrak, dan keuntungan yang diperoleh dalam usaha mengurangkan harga beras.
Seruan untuk Keterbukaan dan Akauntabiliti
Kritikan serta kebimbangan yang ditujukan kepada pihak berkuasa mengenai langkah ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang sebelah mata.
Rakyat memerlukan penjelasan yang terperinci dan jelas dari kerajaan mengenai setiap keputusan yang diambil, terutamanya yang memberi impak besar terhadap keperluan asas mereka.
Sampai bila rakyat akan terus menjadi mangsa kepada keputusan yang tidak telus dan tidak adil? Adakah kerajaan ini benar-benar berpegang kepada janji mereka untuk memberikan komitmen terhadap kesejahteraan rakyat?- DagangNews.com
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN