OPR Naik Lagi! Kesakitan dan kemelesetan sudah bermula!
KADAR Dasar Semalaman (OPR) naik lagi buat kali kelima sebanyak 25 mata asas dan kembali ke paras 3% sama seperti sebelum wabak COVID-19 membadai negara.
Pengumuman kenaikan ini telah dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bulan Mei.
Kelihatan seperti mengejutkan, ini kerana setelah menghentikan seketika kenaikan OPR dengan melalui keputusan yang telah di buat, secara tak langsung ia menunjukkan BNM tidak berpuas hati serta tidak yakin dengan kadar pertumbuhan ekonomi negara pada masa sekarang dan hadapan.
Sekilas pandang Ekonomi Malaysia
Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan tertinggi, terpantas dan terbaik dalam dua dekad sebanyak 8.7 peratus. Pertumbuhan ini direkodkan tatkala negara lain bergelut berhadapan dengan krisis ekonomi global. Namun Malaysia telah menemui jalan untuk memastikan ekonomi terus berkembang dan mampan.
Malaysia juga telah dianggap sebagai salah satu negara yang berjaya mengharungi ribut ekonomi global. Tahun ini, 2023, BNM mengunjurkan yang kadar ekonomi akan kembali perlahan dengan unjuran pertumbuhan diantara 4 sehingga 5 peratus.
OPR pula telah melalui kenaikan sebanyak 100 mata asas melalui empat pelarasan yang telah dilakukan secara berturut-turut. Cuma pada Januari, MPC memutuskan untuk menghentikan kenaikan seketika dan OPR kekal pada paras 2.75 peratus.
Data terbaru inflasi melalui Indeks Harga Pengguna (IHP) menunjukkan Inflasi Malaysia pada Mac 2023 susut kepada 3.4 peratus dengan indeks merekodkan 129.9 berbanding 125.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Manakala pada bulan sebelum ini yang di rekod pada bulan Februari dan Januari adalah sama iaitu sebanyak 3.7 peratus. Bagi bulan Januari, indeks mencatatkan 129.5 berbanding 124.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Bulan Februari pula, indeks mencatatkan 129.8 berbanding 125.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Jelas disini, boleh dilihat yang kadar inflasi dalam keadaan menurun tetapi berdasarkan data juga menunjukkan BNM masih lagi berada terkebelakang dalam menjinakkan inflasi.
Penjelasan BNM dan Rasional Kenaikan
Keputusan BNM untuk menaikkan OPR bertujuan memastikan kestabilan harga barang dan perkhidmatan serta dalam usaha untuk memastikan negara berada pada landasan yang betul – dapat mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam jangka masa panjang.
BNM juga cuba untuk mengelakkan menaikkan OPR dengan kadar yang lebih tinggi (lebih dari 25 mata asas) secara mengejut pada masa hadapan sekiranya kadar inflasi menjadi tidak terkawal. Umum mengetahui, inflasi memudaratkan ekonomi.
Tetapi adakah ini masa yang sesuai dan langkah yang tepat untuk menaikkan OPR? Tatkala kebanyakan terkesan dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang secara langsung menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup.
Kenaikan OPR ditambah dengan keadaan semasa inflasi, ia ibarat menabur garam pada luka. Meskipun inflasi dilihat mereda (berdasarkan data) tetapi yang mereda bukan inflasi teras yang merujuk kepada kumpulan hotel dan restoran, makanan dan minuman bukan alkohol serta pengangkutan.
Selagi inflasi teras masih tidak dapat dikawal, selagi itu krisis kos sara hidup tidak dapat ditangani. Tidak dinafikan OPR adalah alat yang digunakan untuk mengawal inflasi namun jika inflasi teras tetap tidak menurun..... Adakah langkah yang diambil ini tepat?
Setiap kenaikan 25 mata asas dalam OPR, jika diterjemahkan, ia membawa kepada tambahan sebanyak RM25 setahun dalam faedah ke atas hutang RM10,000. Dengan kenaikan kadar baru-baru ini, pengguna akan membayar kira-kira RM125 lebih dalam kos pinjaman untuk setiap RM10,000 dalam hutang berbanding sebelum ini.
Sudah pasti, kenaikan ini bukanlah keputusan yang disambut baik oleh para peminjam terutamanya yang mempunyai hutang rumah dan pinjaman peribadi berasaskan kadar terapung!!
‘Self Fulfilling Prophecy’
Seperti terkandung dalam analisis teknikal dan mana-mana bidang yang terkait, ‘self-fulfilling prophecy’ yang merujuk kepada fenomena di mana jangkaan atau ramalan memuaskan diri seseorang atau sekumpulan orang yang akhirnya mengakibatkan orang atau sekumpulan orang untuk bertindak dengan cara yang mengesahkan ramalan.
‘Self Fulfilling Prophecy’ ini memang berkait dengan keadaan semasa – keputusan BNM menaikan OPR. Ini kerana ia bergantung kepada pihak berkepentingan dalam ekonomi, bagaimana mereka mentafsirkan langkah yang diambil oleh BNM.
Jika mereka mentafsirkan kenaikan OPR secara positif, di mana mereka menganggap BNM serius terhadap masalah inflasi serta cuba menjinakkan inflasi sebelum menjadi semakin meliar, mereka berkemungkinan akan kekal optimis dan tidak mustahil ekonomi akan berkembang seperti apa yang diunjurkan.
Bagaimanapun, jika mereka lebih bersifat konservatif dan mempunyai kebimbangan berlebihan terhadap langkah yang diambil oleh BNM, maka jangkaan itu akan dapat dilihat dalam kelembapan aktiviti ekonomi seterusnya menyumbang kepada penguncupan ekonomi.
Kesakitan dan Kemelesetan Kecil Bermula!
Memang sakit! Mana tidaknya jika kenaikan sebanyak lima kali ini telah menyebabkan kita semakin miskin. Bak sudah hamba diperhambakan pula, inflasi telah mencetuskan krisis kos sara hidup dan ditambah pula kenaikan OPR, sudah tentu kesakitan berganda dirasakan mulai sekarang.
Berbeza dengan kemelesetan ekonomi sebelum ini, apabila kenaikan kadar faedah berlaku secara mendadak, ia mencetuskan kemelesetan yang kejam. Tetapi kali ini di sekitar keadaan ekonomi yang kelihatan mempunyai daya tahan disokong dengan pertumbuhan yang baik walaupun secara faktanya masih bergelut dengan kadar inflasi yang sukar dijinakkan.
Jangan Berlengah Lagi!
Kenaikan kecil OPR sebanyak 25 mata asas ini barangkali boleh mencetuskan kemelesetan tetapi hanya kemelesetan yang kecil dijangkakan berlaku kemudian pada tahun ini. Ini mungkin terdengar menakutkan, tetapi ia adalah sebahagian dari kitaran ekonomi, untuk memulihkan kembali ekonomi.
Meskipun kemelesetan kecil, yang terkesan perlu bersedia dengan membina dana kecemasan mulai sekarang sebagai persediaan sekiranya mereka atau ahli keluarga kehilangan pekerjaan.
Sebelum menyediakan dana kecemasan ini, pastikan kita menilai semula perbelanjaan dan mula berjimat cermat untuk memastikan nilai simpanan dapat ditingkatkan terutamanya dana kecemasan.
Ada banyak lagi persediaan yang boleh dilakukan seperti melabur dalam aset yang lebih selamat dan mempunyai potensi – nilai meningkat dari masa ke masa serta mempelbagaikan pelaburan. Selain pelaburan, perbelanjaan yang bukan menjadi keperluan hendaklah dinilai semula dan dihentikan. Ini kerana kelangsungan hidup semasa kemelesetan ekonomi perlu diutamakan.
Apa pun yang bakal terjadi pada masa hadapan, sama ada kemelesetan berlaku atau pun tidak. Persediaan perlu dimulakan sekarang tanpa perlu berlengah lagi! - DagangNews.com