Scammer: Banyak usaha tingkatkan kesedaran, masih ada terus tertipu. Tamak atau jahil? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 17 January 2024

 

Scammer: Banyak usaha tingkatkan kesedaran, masih ada terus tertipu. Tamak atau jahil?

 

 

 

BERDASARKAN berdasarkan statistik terbaru, semakin ramai individu menjadi mangsa pelbagai skim penipuan pelaburan.

 

Laporan dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menunjukkan peningkatan aduan berkaitan penipuan pelaburan, dengan 2,873 aduan yang dilaporkan pada suku ketiga tahun 2023, berbanding 2,461 aduan pada tahun 2022.

 

Meskipun, telah banyak kempen kesedaran dijalankan, keinginan meraih pulangan lumayan menjadi pendorong utama yang menyebabkan ramai terjebak dalam perangkap penipuan ini.

 

Apa Sahaja Nama, Instrumen, Mahupun Strategi, Semuanya Sama!

Apa sahaja nama, apa sahaja instrumen mahupun strategi pelaburan, jika menjanjikan pulangan lumayan, ia sepatutnya menjadi amaran permulaan buat bakal pelabur.

 

Berfikir secara rasional, jangan mudah percaya dan terpedaya. Ilusi tentang pulangan lumayan ibarat kisah dongeng semata-mata.


 

scam1
Contoh scammer menjual emas pada harga `lelong murah muarah' - Gambar hiasan

 


Skim penipuan pelaburan yang acap kali menjerat mangsa adalah pelaburan yang melibatkan emas. Tidak kisah nama apa yang diberikan terhadap penipuan pelaburan ini, modus operandi kesemuanya hampir sama.

 

Mulanya akan kelihatan indah belaka, tetapi apabila skim penipuan pelaburan ini berkembang dan matang. Baru semua tersedar… Semuanya tipu!

 

Ironinya, naratif yang dicipta adalah sama. Janji bulan bintang, ini termasuk, jaminan pulangan yang lumayan jangka panjang, kenyataan mengelirukan dengan pemilikan emas secara fizikal, manipulasi maklumat pasaran dan banyak lagi.

 

Yang menyedihkan, masih ramai yang terjerat. Ia ibarat hendak meluruskan ekor beruk. Walaupun telah dinasihatkan untuk tidak terlibat dengan penipuan pelaburan sebegini, masih ramai yang berdegil. Ini mencerminkan kebodohan mereka apabila diperdaya oleh ilusi kekayaan.

 

Emas oh Emas! Eksploitasi Logam Berharga

Emas, yang dulunya diangkat tinggi sebagai lambang kekayaan, dan kestabilan kerana keupayaannya untuk menyimpan nilai sepanjang masa serta kalis kepada turun naik nilai mata wang telah menjadikannya sebagai salah satu instrumen pelindung nilai yang perlu ada dalam portfolio setiap pelabur.

 

Namun, emas juga seringkali dijadikan salah satu instrumen penipuan pelaburan. Mana tidaknya, dengan reputasinya sebagai aset selamat dan trend peningkatan harga saban tahun telah menyebabkan ada individu yang tidak bertanggungjawab mengeksploitasi kepercayaan pelabur terhadap logam berharga ini.

 

Skim penipuan pelaburan yang melibatkan emas sering menyembunyikan sifat sebenarnya – cuba membuktikan bahawa mereka adalah institusi pelaburan sah, berlesen, dan berdaftar.


 

iktisad

 


Ini sekadar untuk mengaburi mata pelabur yang kurang berpengetahuan serta cuba menarik individu yang mencari jalan pintas kononnya untuk mendapat pulangan yang lumayan.

 

Malangya, ibarat bercintakan geliga di mulut naga, tertarik oleh janji jaminan kewangan dan keuntungan pelaburan dan tanpa sedar sebenarnya mereka terperangkap dalam penipuan pelaburan yang dipenuhi dengan perangkap tersembunyi.

 

Strategi Licik, Musang Berbulu Ayam

Skim penipuan pelaburan emas biasanya menawarkan potensi pulangan yang tinggi dan jaminan kestabilan pelaburan jangka panjang. Modus operandi ini melibatkan janji bulan bintang untuk menarik minat pelabur.

 

Mereka juga seringkali menggunakan teknik penjualan yang agresif dan sentiasa menekankan kestabilan emas sebagai aset pelaburan yang selamat.

 

Dalam beberapa kes, penipu juga ada menawarkan kononnya terdapat ‘peluang pelaburan eksklusif’ atau ‘program bonus’ yang menjanjikan pulangan lebih tinggi kepada pelabur yang membawa lebih ramai pelabur baru.

 

Mereka biasanya menggunakan media sosial, atau laman web palsu untuk mempromosikan skim penipuan pelaburan ini.

 

Sebagai sebahagian daripada modus operandi, penipu boleh mengelirukan pelabur dengan mengeluarkan dokumen palsu yang menunjukkan bahawa mereka adalah salah satu institusi pelaburan yang sah dan berlesen, sedangkan sebenarnya tidak.

 

Sungguh Kawat Yang Dibentuk, Ikan Ditebat Yang Diadang

Penipuan pelaburan emas bukan hanya berpaksikan pulangan lumayan jangka panjang; ia sebenarnya adalah pertempuran psikologi yang direka untuk memastikan pelabur terjerat dalam jaring tempoh menunggu yang panjang.

 

Masalah akan mula timbul apabila harga emas meningkat dan berlaku peningkatan pengeluaran oleh pelabur. Pada masa ini, skim emas yang dahulu kelihatan gah, kini goyah.


 

iktisad

 


Kelewatan dalam pengeluaran mula berlaku. Perkara ini akan berlarutan sehingga pelabur terpaksa menyedapkan hati mereka sendiri.

 

Manakala, penipu pula memberikan alasan untuk kelewatan, dari turun naik pasaran hingga kerumitan pengawalseliaan, mencipta ilusi kesahihan yang menyembunyikan penipuan di sebaliknya.

 

Di luar implikasi kewangan, penipu menggunakan taktik psikologi untuk memastikan pelabur terus terikat.

 

Tempoh menunggu pengeluaran yang panjang juga bakal digunakan untuk mengeksploitasi emosi pelabur, penipu akan mencipta situasi baharu bagi meyakinkan pelabur untuk tidak menarik dana mereka, dan mengugut secara halus yang pelabur akan kehilangan pulangan lumayan yang dijanjikan.

 

Permainan menunggu ini ibarat sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang. Ia sebenarnya taktik buat si penipu untuk bermain dengan masa, mencari mangsa baharu, dan mengekalkan ilusi keuntungan.

 

Bertanam Tebu di Bibir

Skim penipuan pelaburan emas sering mencipta kisah pelaburan yang disokong oleh emas fizikal atau aset yang berkaitan. Tujuannya ialah memberikan ilusi kebolehlaksanaan dan jaminan keselamatan kepada pelabur.

 

Taktik ini juga turut menyumbang serta menambah daya tarikan kepada skim penipuan pelaburan ini.

 

Walau bagaimanapun, realitinya sering kali jauh berbeza daripada apa yang dijanjikan. Ia hanya sekadar naratif rekaan mengenai aset yang tidak wujud.

 

Pelabur, yang tertarik dengan daya tarikan emas, sering tidak menyedari status sebenar pelaburan mereka kerana skim ini beroperasi dengan bergantung kepada aset yang hakikatnya tidak wujud.


 

iktisad

 


Apabila pelabur cuba menuntut pegangan emas yang dijanjikan, struktur penipuan pelaburan ini mula terbongkar.

 

Tanpa adanya aset sebenar yang menyokong pelaburan, penipu terpaksa pantas untuk memenuhi permintaan pengeluaran, mencetuskan keadaan panik dalam kalangan pelabur dan menandakan permulaan runtuhnya keseluruhan skim penipuan tersebut.

 

Seperti psikologi pasaran kewangan, bermula dengan sikap tamak berkembang menjadi delusi kemudian memilih untuk terus percaya sehingga mencapai tahap penafiaan, diikuti panik dan berakhir dengan kemarahan setelah tersedar telah ditipu selama ini.

 

Simpan dan Melabur dengan Bijak!

Bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan pelaburan seterusnya, bakal pelabur dinasihatkan melakukan semakan terhadap penyedia pelaburan.

 

Pastikan pendaftaran dan kawalan selia oleh pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

 

Jangan takut untuk membuat semakan secara dalam talian, melalui laman web rasmi, menghantar emel, atau menghubungi mereka secara langsung untuk mengesahkan kesahihan skim pelaburan yang ditawarkan.



 

iktisad

 



Mulai hari ini, jadilah pelabur yang bijak, dengan;

 

  1. Pastikan institusi yang menerima deposit anda dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia. Anda boleh menyemak status lesen mereka di laman web Bank Negara Malaysia www.bnm.gov.my.

 

  1. Pastikan individu dan syarikat yang terlibat dalam aktiviti pelaburan dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Anda boleh menyemak status pelesenan mereka di laman web Suruhanjaya Sekuriti www.sc.com.my.

 

Ingat! Sentiasa berwaspada. Jangan tertipu dengan sang musang berbulu ayam yang licik! - DagangNews.com

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags