Eksport getah asli meningkat 11.8% pada Oktober | DagangNews Skip to main content

Eksport getah asli meningkat 11.8% pada Oktober

 

 

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 5.4% pada Oktober 2020 kepada 48,663 tan metrik berbanding 46,187 tan metrik pada bulan sebelumnya. 

 

Perbandingan dengan bulan yang sama tahun sebelumnya juga mencatatkan peningkatan 0.3% dalam pengeluaran, menurut Jabatan Perangkaan dalam Laporan Perangkaan Getah Bulanan yang dikeluarkan hari ini. 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, eksport getah asli Malaysia pada Oktober juga meningkat 11.8% kepada 54,492 tan metrik berbanding 48,720 tan metrik pada bulan sebelumnya. 

 

China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 57% daripada jumlah eksport pada bulan tersebut diikuti Jerman, 11.7%, Finland (3.7%), Iran (3.3%) dan Brazil (2.8%).

 

"Sarung tangan getah merupakan produk eksport utama apabila meningkat 14.6% kepada RM4.4 bilion pada Oktober berbanding September, RM3.8 bilion. 

 

"Amerika Syarikat (AS), Jerman dan United Kingdom (UK) terus kekal sebagai antara negara tertinggi eksport produk sarung tangan getah," katanya. 

Sumber : Jabatan Perangkaan Malaysia

Stok getah asli turut meningkat pada Oktober 2020 iaitu sebanyak 256,724 tan metrik berbanding 255,089 tan metrik pada September 2020 dengan peningkatan 0.6%.

 

Menurut Mohd. Uzir, harga purata Getah Mutu Malaysia (GMM20) mencatatkan harga tertinggi pada Oktober 2020 dengan peningkatan kepada 621.76 sen sekilogram berbanding 558.50 sen sekilogram pada September 2020. 

 

"Trend yang sama turut ditunjukkan bagi harga purata Lateks Pekat iaitu meningkat kepada 576.14 sen sekilogram pada Oktober 2020 bagi tempoh sama (September 2020: 484.57 sen sekilogram)," katanya.

 

Jumlah penggunaan getah asli di peringkat domestik ialah 48,518 tan metrik, meningkat sebanyak 6.3% berbanding bulan sebelumnya. 


Pembuatan sarung tangan getah terus mendominasi industri pembuatan getah asli iaitu sebanyak 36,901 tan metrik atau 76.1% daripada jumlah penggunaan domestik. - DagangNews.com