Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
mohdzulfadli@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 5 Jan - Nilai eksport minyak sawit dan derivatif hiliran Malaysia melonjak 40 peratus kepada RM91.4 bilion bagi tempoh Januari hingga November 2021, berbanding RM65.3 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Lonjakan nilai eskport yang disokong harga tinggi minyak sawit itu bagaimanapun, dibayangi jumlah eksport yang lebih kecil apabila merekodkan penyusutan 8.8 peratus kepada 22.14 juta tan bagi tempoh dikaji berbanding 24.3 juta tan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh Januari hingga November 2021, India mengekalkan kedudukan sebagai pengeksport utama minyak sawit Malaysia membabitkan lebih 3.2 juta tan.
Destinasi eksport utama lain adalah China, Kesatuan Eropah (EU), Turki dan Pakistan.
Setakat November tahun lalu, minyak sawit Malaysia merangkumi 24 peratus pengeluaran minyak sawit global dan 31 peratus jumlah eksport dunia.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, industri minyak sawit terus menjadi tonggak utama kepada pembangunan ekonomi negara yang menyumbang kepada pertumbuhan Malaysia.
"Industri minyak sawit adalah penyumbang keempat terbesar ekonomi negara dan minyak sawit ada penyumbang terbesar kepada eksport komoditi Malaysia.
"Kejayaan tahun lalu disusuli dengan cabaran baharu yang hebat akibat penutupan sempadan antarabangsa dan cabaran kekurangan tenaga kerja asing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Seminar dan Dialog 2022 'Reach & Remind, Friends of the Industry', pelancaran kempen 'Malaysian Palm Oil Full Of Goodness' dan pelancaran buku Mari Kenali Sawit di Putrajaya hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPPK, Datuk Ravi Muthayah; Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Larry Sng Wei Shien; Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir; Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Wan Aisyah Wan Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Datuk Mohamad Nageeb Wahab; dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Persijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), Mohammad Hafezh Abdul Rahman.
Memetik laporan BH Online, Zuraida berkata, 2021 menjadi tahun mencabar kepada industri minyak sawit yang terjejas dengan pengurangan pekerja ladang sekitar 75,000 menyebabkan aktiviti penuaian tertangguh selain kualiti tandan buah yang dituai lebih rendah.
"Pengeluaran mintak sawit negara susut sebanyak 1.3 juta tan atau lapan peratus kepada 15.03 juta tan. Bagi mengatasi masalah kekurangan ini, kerajaan bersetuju untuk mendapatkan 32,000 pekerja asing dengan pematuhan ketat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.
Berkenaan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), beliau berkata, setakat Disember tahun lalu, sejumlah 5.36 juta hektar atau 91.4 peratus daripada 5.87 juta hektar sudah menerima pensijilan berkenaan.
Daripada jumlah itu, katanya sejumlah 684,970 hektar dan 518,981 hektar kawasan bertanam yang dikendalikan oleh syarikat perladangan serta pekebun kecil bebas mendapat persijilan terbabit.
"Kita berterima kasih kepada pekebun kecil diatas sokongan kepada kemampanan minyak sawit negara. Kerajaan akan terus membantu mereka untuk mencapai tahap 100 peratus MSPO tahun ini," katanya.
Zuraida berkata, bagi tahun ini, KPPK menyasarkan jumlah pengeluaran meningkat 30 peratus berbanding jangkaan pencapaian 2021 disokong kempen dan inisiatif baharu yang akan dilaksanakan kementerian itu.
Beliau berkata, industri minyak sawit negara akan meneroka pasaran eksport baharu ke negara pengguna seperti Sri Lanka, Asia Barat, Iran, India, Turki dan Bangladesh tahun ini.
Katanya, Malaysia juga komited untuk mencapai karbon neutral nasional menjelang 2050.
"Berdasarkan sasaran keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2030, kami menyasarkan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) di seluruh ekonomi sebanyak 45 peratus.
"Kerajaan juga mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan prestasi kelestarian dengan secara aktif mempromosikan pengeluaran minyak sawit mampan menerusi standard MSPO.
"Selain itu, kerajaan meneruskan komitmen sedia ada untuk mengekalkan liputan hutan 50 peratus dan menetapkan penanaman 6.5 juta hektar tanaman," katanya. - DagangNews.com