Grab umum 3 matlamat baharu pacu pertumbuhan di Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

Grab umum 3 matlamat baharu pacu pertumbuhan di Asia Tenggara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mei - Grab mengumumkan tiga matlamat baharu dalam usaha memacu pertumbuhan di Asia Tenggara.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Grab, Anthony Tan berkata, matlamat itu termasuk memacu penyertaan digital untuk kumpulan terpinggir menjelang 2025 menerusi pengenalan Grab Access iaitu program serantau yang mengurangkan halangan untuk mereka menyertai Grab.

 

Program itu akan menyediakan individu ini dengan sokongan kewangan serta latihan khas bagi membantu menyesuaikan diri dan memudahkan mereka menyertai platform dengan ia akan dilancarkan di Indonesia sebelum berkembang ke negara lain di rantau ini.

 

Matlamat kedua adalah mencapai 40% kepimpinan wanita dalam kumpulan itu menjelang 2030 berbanding 34% pada masa ini bagi memastikan syarikat mempunyai suara yang pelbagai dalam jawatan pengurusan sebelum membuat sebarang keputusan.

 

"Kami akan terus melabur dalam program kepemimpinan untuk menyokong pembangunan kerjaya pekerja wanita; mewujudkan rangkaian sokongan yang lebih komprehensif untuk wanita dalam tenaga kerja. 

 

"Kami juga akan mengambil langkah proaktif seperti kajian dipacu data dan program latihan untuk membantu pengurus mengenal pasti dan menangani sebarang kecenderungan tanpa sedar yang mungkin berlaku semasa temuduga calon dan proses semakan prestasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

grab

 

Beliau berkata, Grab komited untuk menguruskan jejak karbonnya secara aktif, dengan matlamat untuk menjadi neutral karbon menjelang tahun 2040 walaupun perniagaan terus berkembang dengan pesat sepanjang tahun. 

 

Syarikat akan memberi tumpuan terlebih dahulu kepada pelaksanaan langkah untuk mengurangkan pelepasan sebelum beralih kepada pengimbangan.

 

"Bagi tujuan ini, Grab bekerjasama dengan kerajaan, pembekal infrastruktur yang mengenakan bayaran dan pembuat kereta di seluruh Asia Tenggara untuk menjalankan kajian dan penyelidikan perintis kenderaan elektrik (EV).

 

grab

 

"Grab mengendalikan armada ride-hailing EV yang terbesar di Indonesia yang terdiri daripada anggaran 8,500 kenderaan elektrik," katanya.

 

Anthony berkata, pihaknya menghadapi dua realiti penting dalam ekonomi digital kesukaran akses kepada peluang dan perubahan iklim.

 

"Ini merupakan menjadi punca kepada penekanan kepada matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi memacu pertumbuhan inklusif  dan menguruskan ekosistem dengan lebih baik," katanya. - DagangNews.com