GSC beli majoriti pawagam MBO | DagangNews Skip to main content

GSC beli majoriti pawagam MBO

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Mac - Golden Screen Cinemas Sdn. Bhd. (GSC) bakal mengambil alih majoriti aset pawagam MBO yang dijangka selesai pada penghujung Jun 2021. 

 

Langkah itu adalah susulan GSC telah menandatangani Perjanjian Penjualan Aset pada 23 Februari lalu dengan pengendali MBO iaitu MCAT Box Office Sdn. Bhd. dan Reel Entertainment Holdings Sdn. Bhd. (kedua-duanya dalam Penggulungan Sukarela Pemiutang).

 

Ketua Pegawai Eksekutif GSC, Koh Mei Lee berkata, perniagaan pawagam merupakan operasi utama di PPB Group Berhad dan pihaknya akan kekal komited terhadap pertumbuhan sektor panggung wayang yang rancak. 

 

Koh Mei Lee
Koh Mei Lee

 

“Kami lihat pandemik COVID-19 merupakan masalah sementara dan yakin apabila pandemik ini reda, penonton yang mahukan hiburan luar rumah akan kembali ke pawagam, seperti mana dapat dilihat di rantau lain.

 

“Kami yakin bahawa pengambilalihan aset pawagam MBO, bersama-sama pengedaran vaksin akan membantu mempercepat pemulihan daripada pandemik ini,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Walaupun berdepan persekitaran perniagaan yang mencabar, namun GSC melihat langkah itu berstrategik dan akan mempercepat perkembangan jenamanya selain memperkukuh kedudukan dalam pasaran. 

 

Tambah kenyataan itu, GSC berhasrat untuk mengoptimumkan titik penjualan unik kedua-dua rangkaian pawagam berkenaan untuk meningkatkan teknologi, aset, dan pengetahuannya, yang akan membawa kepada pengalaman pawagam lebih baik. 

 

Jelas GSC, walaupun penonton kini beralih ke platform hiburan lain seperti streaming dari rumah, namun syarikat itu percaya bahawa pawagam kekal relevan untuk masa depan walaupun munculnya media baharu seperti televisyen, video rumah, dan internet.

 

“Kami masih mengharapkan (industri) pawagam akan terus meningkat, memberi inspirasi dan hiburan kepada komuniti. 

 

“Pengambilalihan aset pawagam MBO akan terus menambah baik kepelbagaian GSC, inovasi dan tawaran canggih serta penonton boleh menantikan lebih banyak masa yang baik, peribadi, dan menggembirakan di pawagam bersama kami,” ujarnya lanjut. - DagangNews.com