HLIB syor 'beli' saham TRC Synergy, TP RM0.40 | DagangNews Skip to main content

HLIB syor 'beli' saham TRC Synergy, TP RM0.40

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research memulakan liputan terhadap TRC Synergy Berhad dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM0.40 sesaham.

 

Firma itu berkata, saranan itu adalah berdasarkan kepada perkiraan SOP dengan diskaun 50% yang mencerminkan status syarikat bermodal kecil  dan kebergantungan terhadap sektor awam yang tinggi.

 

Katanya, TRC merupakan pesaing terkuat untuk mendapatkan kerja-kerja bagi projek MRT3 berdasarkan status mereka selaku syarikat kotraktor Bumiputera.

 

Pada masa sama, kumpulan itu mempunyai rekod cemerlang dalam projek kereta api mega merangkumi kerja-kerja pembinaan stesen, jejambat serta depoh selain memiliki rekod aliran tunai yang bersih.

 

"Sebelum ini, kumpulan itu berjaya mendapatkan kontrak mega bernilai RM1.32 bilion dan RM846.5 juta daripada projek MRT Putrajaya dan MRT Kajang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu mengunjurkan pendapatan yang kurang memberangsangkan untuk kumpulan itu bagi FY22 dan FY23 sebelum bangkit sebanyak 31.8% daripada tahun ke tahun pada FY24.

 

Katanya, ia akan didorong oleh kejayaan meraih kontrak daripada projek MRT3.

 

"Kami telah mengambil kira kemenangan kontrak pembinaan sebanyak RM800 juta bagi FY22 serta RM500 juta pada FY23 dan FY24.

 

"Bagaimanapun, pengiktirafan hanya akan diambil kira bermula 2024 akibat “S-curve”. Kami menjangkakan unjuran kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 5.9% untuk tempoh FY22f-24f," katanya. - DagangNews.com