Hospitality 360 rasmikan Kuantan 188, menara kedua tertinggi di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Hospitality 360 rasmikan Kuantan 188, menara kedua tertinggi di Malaysia

Menara Kuantan 188, menjadi tarikan terbaru ke bandar Kuantan, Pahang.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUANTAN 21 Feb – Hospitality 360, sayap hospitaliti MAA Group Berhad, merasmikan Kuantan 188, menara setinggi 188 meter yang menjadi nadi bandar Kuantan, Pahang serta menara kedua tertinggi di Malaysia pada 20 Februari 2022 dan seramai 350,000 disasar mengunjunginya tahun ini.

 

Penduduk tempatan dan pelancong kini boleh membeli tiket secara dalam talian di laman web rasmi Kuantan 188, platform teknologi AI pelancongan Go Tifi dan juga di menara itu untuk melawat menara ikonik yang satu-satunya mempunyai pemandangan 360 darjah bandar Kuantan.

 

Mereka boleh menikmati pemandangan panorama bandar dan sungai Kuantan, sementara yang mahu merasai keseronokan menyirap darah boleh mencuba aktiviti seperti  ‘Sky Walk’, ‘Drop Zone’ dan ‘Anthena Climb’ sama seperti yang terdapat di Menara Macau dan Taipei 101.

 

Majlis itu juga menyaksikan Kuantan 188 melancarkan logo baharu dan menerima sijil sebagai ahli rasmi World Federation of Great Towers.

 

Acara itu diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Santhara J.P.;  Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Pahang, Dato' Sri Norolazali Sulaiman; Presiden dan CEO Kumpulan Hospitality 360, Dato’ Indera Omar Naresh Mohan (Dato’ Indera Omar) dan Pengarah Urusan Infiniti Indah Sdn. Bhd., Dato’ Zulkifli Mohamad.

 

 

kuantan 188
Datuk Seri Santhara J.P (dua dari kanan) bersama Dato’ Indera Omar (dua dari kiri), Dato' Sri Norolazali Sulaiman (kiri) dan Dato’ Zulkifli Mohamad pada majlis perasmian Menara Kuantan 188 pada 20 Februari 2022.

 

Dr Santhara dalam ucapannya berkata, rakyat Malaysia dan penduduk Pahang cukup bertuah kerana memiliki menara kedua tertinggi di negara kita dengan pemandangan yang memukaukan.

 

Beliau percaya bahawa pelancaran menara itu akan memberi suntikan dan nafas baharu kepada pengurusan Kuantan 188 untuk membangunkan seterusnya menara ini ke mata dunia, terutama di dalam menarik pelancong dari dalam dan luar negara untuk melawat Kuantan 188 dan Pahang.

 

Sementara itu Dato’ Indera Omar berkata, pelancaran ini seiring dengan pengambilalihan operasi menara ini pada 1 Januari 2022.

 

''Kami menyasarkan untuk menjadikan Kuantan 188 sebuah had destinasi pelancongan moden di Pajang dan Pantai Timur dengan melancarkan siri-siri aktiviti di sini pada bulan-bulan mendatang,” kata beliau.


 

kuantan 188

 

kuantan 188

 

kuantan 188

 

 

Kuantan 188 adalah sebuah mercu tanda strategik yang dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) secara berkolaborasi dengan Kerajaan Pahang. Kuantan 188 adalah sebahagian daripada siri pembangunan bagi menambah baik tebingan sungai Kuantan, sebuah aset utama dan warisan budaya yang akan meningkatkan tarikan pelancong ke bandar tersebut.

 

Para  tetamu boleh menara itu dari 10 pagi hingga 10 malam pada hari biasa atau 10 pagi hingga 12 tengah malam pada hujung minggu dengan tiket bermula dari RM15 untuk orang dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak melawat tingkat pemerhatian; RM28 bagi dewasa dan RM18 bagi kanak-kanak bagi melawat Skydeck; dan RM38 bagi dewasa dan RM18 kanak-kanak melawat kedua-dua tingkat pemerhatian dan Skydeck.


 

kuantan 188
Aktiviti seperti  ‘Sky Walk’, ‘Drop Zone’ dan ‘Anthena Climb’ yang disediakan di Menara Kuantan 188.

 


Hospitality 360 adalah sebuah syarikat MAA Group Berhad. Sejak 1992, Hospitality 360 telah berkembang menjadi syarikat yang memiliki lebih 30 jenama dan merupakan kumpulan pelbagai perniagaan dengan hotel, makanan dan minuman, penginapan singkat, platform teknologi pelancongan, logistik, ID & ubah suai, perniagaan hiasan rumah dan perkakasan, program kesetiaan dan, pengedar dan peruncit cerut premium.

 

Pada 1 Januari 2022, Hospitality 360 menjadi pengendali menara kedua tertinggi di Malaysia, Kuantan 188. - DagangNews.com