Indeks Pelopor meningkat pada Okt, ekonomi dijangka pulih dalam masa terdekat | DagangNews Skip to main content

Indeks Pelopor meningkat pada Okt, ekonomi dijangka pulih dalam masa terdekat

 

 


KUALA LUMPUR 24 Dis - Indeks Pelopor (IP) meningkat 0.3% pada Oktober 2021, menjangkakan ekonomi akan terus pulih dalam masa terdekat, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia. 

 

Pada bulan tersebut, IP mencapai 109.5 mata selepas mencatatkan 0.6% pada September 2021.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi IP pada Oktober kekal positif dengan IP terlicin terus di atas arah aliran jangka panjang dan bergerak ke atas. 

 

Berdasarkan senario tersebut, katanya, prospek yang lebih meyakinkan dijangka dalam masa terdekat sekiranya aktiviti ekonomi yang beransur-ansur normal berlanjutan. 

 

"Tambahan pula, pelonggaran progresif sekatan dalam mengurangkan kesan terhadap ekonomi, serta kebenaran semula perjalanan antara negeri membawa sentimen positif kepada ekonomi dalam mengembalikan semula momentum pertumbuhan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bagi Oktober 2021, Import Benar Semi Konduktor kekal sebagai penyumbang utama kepada peningkatan IP dengan permintaan positif terhadap litar bersepadu elektronik. 

 

Sementara itu, IP menguncup 0.9% pada bulan rujukan berbanding bulan sebelumnya. 

 

Penawaran Wang Benar, M1, diikuti oleh Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain dan Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan merupakan penyumbang utama kepada penurunan IP dengan setiap komponen tersebut merekodkan negatif 0.3%. 

 

Mohd. Uzir berkata, sepanjang Oktober 2021, ekonomi terus bertambah baik apabila lebih banyak negeri memasuki fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

 

Katanya, selaras dengan itu, prestasi ekonomi semasa melalui Indeks Serentak (IS) menunjukkan momentum yang lebih baik dengan terus meningkat kepada 2.1% pada Oktober 2021 berbanding September, 0.3% mencecah 113.3 mata berbanding 111.0 mata yang dicatatkan pada Oktober 2020. 

 

"Tambahan pula, IS terus mencatatkan pertumbuhan positif bulan ke bulan sebanyak 0.8% pada bulan rujukan. 

 

"Pertumbuhan ini disumbangkan secara signifikan oleh peningkatan dalam Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (0.4%) dan Jumlah Guna Tenaga di sektor Pembuatan (0.3%)," katanya.

 

Indeks Difusi bagi IP dan IS menunjukkan peningkatan pada Oktober 2021. Indeks Difusi bagi IP meningkat kepada 42.9% manakala, Indeks Difusi bagi IS mencapai 50%. - DagangNews.com