Mengintegrasikan Celik Kewangan dan Kemampanan dalam Kewangan Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 08 Oct 2024 07:00 AM

MENGINTEGRASIKAN CELIK KEWANGAN DAN KEMAMPANAN DALAM KEWANGAN ISLAM

 

 

 

MINGGU lepas penulis, sebagai Felo Adjung IIiBF  Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, telah dijemput untuk bersama memeriahkan Persidangan Antarabangsa Ke-2 Celik Kewangan Islam 2024 (ICiFIL 2024) yang menumpukan perhatian kepada promosi dan menambah ilmu pengetahuan mengenai keterangkuman kewangan dan celik kewangan dalam kewangan Islam.

 

Tema utama adalah berkaitan dengan kesedaran perkembangan sistem kewangan Islam di dunia - “Memperkasakan Masa Depan: Mengintegrasikan Celik Kewangan dan Kemampanan dalam Kewangan Islam”.

 

Tema ini mencadangkan tumpuan untuk mempertingkatkan keupayaan masyarakat sekeliling dengan mendidik mereka tentang prinsip kewangan Islam dengan penekanan pada menggalakkan amalan mampan berpandukan Maqasid al-Syariah.

 

 

iktisad

 

 

Antara tajuk yang dibincang termasuk Celik Kewangan Islam, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Kewangan Islam, Perbankan Islam dan Pembangunan Produk, Pasaran Modal Islam, Takaful dan Takaful Semula, Pengurusan Kekayaan Islam, Ekonomi Islam untuk Pembangunan Mampan, Maqasid Al-Syariah dan Kewangan Islam, Zakat dan Waqaf dan Sedekah termasuk Fintech Islam, Perbankan Digital.

 

Dalam persidangan tersebut, penulis dapat menangkap tiga isu utama yang dibincangkan.

 

  1. Memperluas Celik Kewangan dalam Kewangan Islam
     
  2. Kemampanan dalam Kewangan Islam: Strategi dan Cabaran
     
  3. Pembangunan Inovatif dalam Produk Kewangan Islam yang Lestari

 

 

Terdapat keperluan mendesak untuk memperluas celik kewangan dalam kalangan masyarakat, terutamanya untuk memastikan orang ramai memahami produk kewangan Islam, prinsip-prinsip Shariah, dan perbezaan utama dengan kewangan konvensional.

 

Pendidikan kewangan yang mudah difahami secara santai dapat membantu orang ramai membuat keputusan kewangan yang lebih bijak dan mengelakkan produk atau pelaburan yang tidak mematuhi Shariah.

 

Usaha diperlukan untuk memastikan akses kewangan Islam yang lebih inklusif, terutamanya bagi komuniti yang kurang mendapat liputan. Ini termasuk penggunaan teknologi fintech dan digitalisasi dalam memudahkan pemahaman dan akses kepada produk kewangan Islam.

 

 

iktisad

 

 

Di samping itu kewangan Islam mempunyai asas yang selari dengan prinsip kelestarian alam dan sosial, termasuk maqasid Syariah yang mengutamakan kesejahteraan umum.

 

Isu yang dibincangkan ialah bagaimana institusi kewangan Islam boleh mengintegrasikan elemen kemampanan ke dalam produk dan operasi mereka, contohnya dengan memperkenalkan lebih banyak produk pelaburan yang patuh Syariah.

 

Antara cabaran adalah mengintegrasikan kemampanan dalam kewangan Islam termasuk kekangan dari segi dasar dan regulasi, serta kesukaran mengukur impak pelaburan lestari (ESG) dalam konteks kewangan Islam. Penyelesaian kepada cabaran-cabaran ini telah dibincangkan, termasuk peranan teknologi dan inovasi.

 

Selain itu, untuk memastikan kewangan Islam terus relevan dan berdaya saing, terdapat keperluan untuk inovasi berterusan dalam produk kewangan Islam yang menumpukan pada aspek kemampanan, seperti sukuk hijau, sukuk sosial, dan pelaburan ESG.

 

Perbincangan fokus kepada bagaimana institusi kewangan Islam dapat bekerjasama dengan pihak industri dan kerajaan untuk mencipta produk-produk inovatif ini.

 

Terdapat keperluan untuk memastikan bahawa inovasi dalam produk kewangan Islam terus mematuhi prinsip-prinsip Syariah, sambil juga memenuhi keperluan pelabur dan pelanggan yang semakin peka kepada isu-isu kemampanan.

 

Dalam persidangan ini, perancangan tentang wasiat, faraid, dan hibah juga diperbincangkan oleh dua orang penceramah yang ketokohan mereka diakui oleh industri tanahair, CEO Awaris Prof Adj. Dato' Ahmad Saruji Abdul Aziz dan Pengasas & CEO Kumpulan Wasiyyah Shoppe, Ariffin Sabirin.

 

 

iktisad

 

 

Ramai individu masih kurang faham mengenai kepentingan dan perbezaan antara wasiat, faraid, dan hibah dalam konteks pengurusan harta. Perbincangan menekankan keperluan meningkatkan celik kewangan mengenai perancangan harta mengikut syariah, termasuk kepentingan membuat wasiat bagi harta yang tidak diuruskan melalui faraid dan menggunakan hibah sebagai instrumen untuk menyusun agihan harta semasa hidup.

 

Peranan pendidikan kewangan telah ditekankan dalam memastikan setiap lapisan masyarakat memahami hak dan tanggungjawab mereka dalam pengurusan harta pusaka. Kefahaman yang jelas boleh membantu mengelakkan pertikaian keluarga dan kelewatan dalam proses pengagihan harta.

 

Walaupun begitu terdapat kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai bagaimana hukum faraid diaplikasikan kepada aset kewangan moden seperti akaun bank, saham, pelaburan, dan polisi takaful.

 

Penceramah telah menghurai bagaimana faraid boleh dilaksanakan dengan berkesan dalam dunia kewangan moden, serta memberikan solusi kepada cabaran yang timbul apabila harta berkenaan melibatkan aset yang tidak boleh dipecahkan atau diagihkan dengan mudah.

 

Pengurusan harta faraid seringkali menghadapi pertikaian keluarga, terutamanya apabila waris berbeza pandangan mengenai pembahagian harta. Perbincangan telah menekankan kaedah-kaedah alternatif seperti mediasi dan perundingan bagi memastikan pengagihan faraid berjalan lancar tanpa menjejaskan hubungan kekeluargaan.

 

CEO Hong leon Islamic Bank Bhd, Dafinah Ahmed Hilmi mengakui kini, hibah semakin menjadi pilihan dalam kalangan umat Islam sebagai instrumen perancangan harta yang lebih fleksibel berbanding faraid.

 

Persidangan juga membincangkan bagaimana hibah boleh digunakan untuk memastikan pengagihan harta berlaku dengan lebih efisien, terutama apabila melibatkan aset-aset yang kompleks seperti hartanah, perniagaan, dan pelaburan.

 

 

Dafinah Ahmed Hilmi
                      Dafinah Ahmed Hilmi

 

 

Dalam konteks kemampanan, hibah dapat berperanan dalam memastikan bahawa harta diwarisi dan diagihkan dengan mempertimbangkan kebajikan anak angkat dan pasangan yang tidak ada waris anak lelaki, contohnya.

 

Para penceramah menelitikan bagaimana hibah boleh diintegrasikan dengan prinsip kemampanan dalam kewangan Islam, terutamanya dalam memastikan kelangsungan perniagaan keluarga dan aset-aset lestari.

 

Dengan membincangkan isu-isu ini, peserta persidangan mengakui keterangan yang disampaikan para penceramah membantu meningkatkan kefahaman dan kesedaran mereka tentang pengurusan harta mengikut syariah, serta mendorong masyarakat untuk membuat perancangan kewangan dan harta yang lebih baik, selari dengan prinsip kemampanan dalam kewangan Islam. - DagangNews.com

 
Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM


utm

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

 

dagangnews