BERSEDIAKAH KITA BUKA SEMPADAN?
Oriental Daily & Sin Chew Jit Poh, 10 Feb 2022
SEBAHAGIAN besar ahli Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyokong saranan membuka sempadan negara sepenuhnya mulai 1 Mac 2022.
Cadangan pembukaan ini adalah kali pertama dibuat selepas 2 tahun negara melaksanakan sekatan pada Mac 2020.
Perayaan Tahun Baru Cina 1 Feb 2022 disambut tanpa sekatan untuk berkumpul bersama keluarga.
Kelonggaran ini mungkin membuatkan rakyat sedikit lega dan leka semasa musim perayaan. Sehinggakan baru-baru ini, bilangan kes positif harian melonjak kepada 10,000 ke atas.
Kita tidak perlu panik dalam menghadapi varian baru Omicron, tetapi masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengambil suntikan dos penggalak dan bekerjasama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak bagi mengelakkan diri kita dijangkiti.
Berdasarkan jumlah kes positif semasa, sekiranya tiada sebarang perubahan dalam tempoh setengah tahun, bermakna lebih separuh daripada rakyat negara mungkin akan dijangkiti.
Walaupun gejala Omicron dikatakan lebih ringan, tetapi kita jangan sekali ambil mudah kerana tiada perbincangan mengenai kesan jangka panjang varian ini.
COVID-19 telah menyerang seluruh dunia selama 2 tahun, memberi impak yang besar kepada manusia termasuklah sekatan pergerakan dan peningkatan jumlah kematian.
Selain itu, ekonomi global juga telah banyak menderita, terutamanya bagi negara mundur dan negara yang tidak mempunyai industri teras.
Jika lihat daripada perkembangan wabak, kemungkinan coronavirus ini akan dianggap sebagai serangan selsema dan akhirnya seluruh negara akan mempertimbangkan semula berkenaan pembukaan sempadan.
Antaranya negara Australia akan membuka semula sempadan bermula 21 Februari ini. Kerajaan Malaysia cenderung untuk mempercepatkan pembukaan semula sempadan selepas membuat pelbagai pertimbangan terutamanya dari sudut ekonomi.
Walaupun kabinet akan mengadakan mesyuarat untuk perbincangan, tetapi dijangka tiada bantahan mengenai cadangan ini. Cuma mungkin tarikh pembukaan akan ditangguhkan sehingga bulan April atau Mei.
Ramai yang percaya bahawa pembukaan semula sempadan negara adalah satu cara untuk pemulihan negara.
Sekatan sempadan yang tiada berkesudahan hanya akan menyebabkan industri yang berkaitan dengan pelancongan seperti penerbangan, pengangkutan, perhotelan, industri makanan dan sebagainya sukar untuk terus mengekalkan kelangsungan perniagaan.
Penutupan industri akibat COVID-19 bukan lagi kes terpencil di Malaysia, jika pembukaan sempadan ditangguh lagi, pasti ekonomi negara akan menjadi lebih tenat.
Selama 2 tahun sempadan disekat, masalah ekonomi yang ditimbulkan amat merugikan negara.
Ringgit menjadi lemah dan kenaikan kos pengangkutan antarabangsa menyebabkan kenaikan harga barangan.
Berdepan dengan penularan wabak, perbalahan politik dalaman dan dasar-dasar perlindungan, menjadikan Malaysia kurang daya tarikan untuk pelaburan asing.
Dari perspektif pasaran saham, volum dagangan bursa saham negara pada dasarnya tidak tinggi berbanding dengan pasaran utama lain di Asia seperti Singapura, China, Jepun, Taiwan dan lain-lain. Volum dagangan harian hanya kira-kira 5 hingga 20% daripada pasaran ini.
Jika kita yakin bahawa pemberian vaksin penggalak akan meningkatkan imuniti 3.4 kali ganda lebih tinggi daripada mereka yang hanya menerima 2 dos suntikan vaksin, maka tiada keperluan untuk terus menyekat sempadan.
Oleh yang demikian, pembukaan semula sempadan secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat terutamanya industri pelancongan negara.
Pembukaan sempadan adalah satu kemestian tetapi kerajaan masih perlu memberi perhatian kepada situasi penularan wabak dan kesan jangka panjang kepada pesakit yang telah pulih.
Dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, negara akan berdepan dengan cabaran yang besar.
Adakah kita mampu menghadapi ujian ini bergantung kepada kebijaksanaan kerajaan masa depan?
Malaysia tidak perlu mengikut ‘dasar sifar’ negara-negara lain kerana kosnya adalah sangat tinggi, tidak praktikal dan adalah mustahil untuk mencapainya.
Apa yang penting, kita sebagai rakyat perlu beri kerjasama dengan mematuhi segala peraturan.
Mana mungkin kita mampu melenyapkan terus virus dari muka bumi tetapi hidup perlu diteruskan. - DagangNews.com
Artikel-artikel ini disiarkan di dalam akhbar Oriental Daily dan Sin Chew Jit Poh 10 Februari 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com