140,000 perniagaan terima manfaat daripada sejuta tuntutan eBelia ShopeePay | DagangNews Skip to main content

140,000 perniagaan terima manfaat daripada sejuta tuntutan eBelia ShopeePay

Suplemen kesihatan, barangan penjagaan diri dan produk kecantikan diri antara produk paling banyak dibeli di Watsons dan Guardian. - Gambar hiasan

 

 

KUALA LUMPUR 11 Jun - Hampir sejuta belia telah menebus kredit eBelia melalui ShopeePay dan menjana jualan bernilai 120% daripada jumlah keseluruhan yang disalurkan Kementerian Kewangan melalui platform itu setakat 7 Jun.

 

Malah, sekitar 140,000 penjual dan peniaga yang menerima ShopeePay turut mendapat manfaat daripada program tersebut. 

 

Berdasarkan transaksi yang direkodkan oleh Shopee, kebanyakan mereka menggunakan kredit eBelia untuk membuat pembelian yang praktikal seperti keperluan harian, makanan serta minuman, buku dan kelengkapan rumah.

 

Watsons dan Guardian adalah dua daripada 10 jenama paling popular dalam kalangan penerima eBelia yang mana mereka membelanjakan lebih daripada RM1.5 juta dalam tempoh hanya seminggu untuk membeli suplemen kesihatan, barangan penjagaan diri dan produk kecantikan diri. 

 

Selain itu, mereka juga membelanjakan lebih RM160,000 di kedai rasmi Big Bad Wolf Books di Shopee. 

 

Dalam masa sama, golongan belia juga mengambil peluang menaik taraf aksesori komputer dan gajet mereka menggunakan baucar dari pek baucar bernilai RM500 yang diterima, di kedai pengedar jenama Apple iaitu Switch, OPPO dan juga realme. 

 

 

Alain Yee
Alain Yee

 

 

Ketua ShopeePay Malaysia, Alain Yee berkata, sebahagian besar daripada 1.7 juta pemohon yang berjaya dalam program eBelia ini memilih ShopeePay.

 

Katanya, daripada jumlah itu, hampir 40% adalah pengguna baru ShopeePay yang mengaktifkan e-dompet mereka semata-mata untuk eBelia. 

 

"Tambahan lagi, kadar pengekalan pengguna atau user retention rate di kalangan pengguna baharu ini dijangka tinggi.

 

"Kami positif kerana lebih daripada 20% pengguna baharu ini telah menambah nilai dompet ShopeePay mereka sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh seminggu mereka menggunakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Penggunaan ShopeePay ini menjangkau sehingga ke Semporna, Sabah; Miri, Sarawak; Kemaman dan Gong Badak di Terengganu dan Bachok, Kelantan.

 

Menurut Yee, berdasarkan data awal mulai 1 hingga 7 Jun, tingkah laku pengguna dalam kalangan penerima eBelia mencerminkan program ini membantu memacu penggunaan e-dompet, dan berkemungkinan tinggi membawa kepada penggunaan jangka masa panjang.

 

 

shopeepay

 

 

Sementara itu, mengulas mengenai inisiatif eBelia, Pengarah Urusan Mydin dan Naib Presiden Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Datuk Ameer Ali Mydin berkata, program ini banyak membantu para belia mengurus kos hidup.

 

"Selain itu, ia juga merupakan kaedah pembayaran yang memberi kemudahan kepada peruncit tempatan seperti kami, terutama semasa penularan pandemik ini yang mana pembayaran tanpa tunai digalakkan untuk meminimumkan risiko jangkitan virus," katanya.

 

Beliau memberitahu, bagi minggu pertama sahaja, penerima eBelia ShopeePay mencatatkan lebih daripada 5,600 transaksi dengan Mydin, membeli barangan runcit dari kedai atas talian dan luar talian. 

 

"Walaupun angka tersebut tidaklah kelihatan tinggi, ia adalah sebahagian daripada satu jumlah yang besar dan kami pasti bahawa peruncit tempatan lain malah perniagaan kecil-kecilan juga memperoleh manfaat daripada usaha ini," tambah beliau.

 

Program eBelia masih dibuka untuk pendaftaran bagi golongan belia berkelayakan, berumur 18 hingga 20 tahun pada 2021 atau pelajar sepenuh masa yang mendaftar dalam kursus setaraf dengan diploma atau Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 4 (SKM4) dan ke atas di institusi pengajian tinggi awam dan institut pengajian swasta yang berdaftar. - DagangNews.com