150 tapak pembinaan diarah tutup dalam tempoh 20 hari PKP penuh - KKR | DagangNews Skip to main content

150 tapak pembinaan diarah tutup dalam tempoh 20 hari PKP penuh - KKR

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Jun - Sebanyak 150 tapak pembinaan di seluruh negara telah diarahkan tutup dalam tempoh 20 hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau sepenuhnya dilaksanakan bermula 1 Jun 2021. 

 

Ini selepas kesemua tapak pembinaan itu didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, menurut Kementerian Kerja Raya (KKR).

 

“Daripada 150 tapak pembinaan yang ditutup sebanyak 45 terletak di Sarawak, di Selangor (24 tapak pembinaan), Melaka (16), Pulau Pinang (10), Terengganu (10), Sabah (9), Johor (7), Kuala Lumpur (6), Pahang (6), Perak (5), Kedah (4), Negeri Sembilan (4), Perlis (3) dan Kelantan (1). 

 

“Manakala 11 yang dibuka semula selepas didapati mematuhi SOP terletak di negeri Terengganu (4), Melaka (3), Johor (2), KL (1) & Kedah (1),” jelas kementerian itu dalam satu kenyataan. 

 

Bagaimanapun, sebanyak 11 daripada tapak pembinaan yang diarah tutup itu telah pun dibenarkan dibuka semula, selepas mereka mematuhi SOP ditetapkan.

 

Sejak PKP 3.0 dilaksanakan, sebanyak 2,423 tapak pembinaan telah diperiksa oleh penguatkuasaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). 

 

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 446 (18%) tapak pembinaan didapati beroperasi, manakala sebanyak 1,977 (82%) tidak beroperasi. 

 

Tambah KKR, kementerian amat memandang serius peratusan ketidakpatuhan SOP yang tinggi di tapak pembinaan kerana tindakan itu dilihat amat membimbangkan dan akan menjejaskan objektif PKP penuh ketika ini untuk mengekang penularan wabak COVID-19. 

 

Tapak Pembinaan
CIDB juga boleh mengenakan penalti tidak melebihi RM500,000.00 atau menggantung dan membatalkan Perakuan Pendaftaran Kontraktor buat penggiat industri yang melanggar SOP. - Gambar hiasan

 

Penggiat industri pembinaan diingatkan supaya sentiasa mematuhi SOP PKP 3.0 atau berdepan dengan tindakan tegas oleh CIDB, gesa KKR.

 

Selain mengarahkan tapak pembinaan ditutup dengan serta-merta, CIDB juga boleh mengenakan penalti tidak melebihi RM500,000.00 atau menggantung dan membatalkan Perakuan Pendaftaran Kontraktor, tambah Kementerian itu lagi.

 

“Sejak PKP 3.0 bermula, CIDB telah mempergiatkan pemeriksaan di tapak pembinaan, dalam usaha mengekang pandemik COVID-19 susulan peningkatan penularan kes positif COVID-19 di tapak pembinaan seluruh negara, khususnya di Lembah Klang. 

 

“KKR mahu supaya semua kontraktor komited sepenuhnya dalam memikul tanggungjawab untuk memastikan tapak pembinaan dan penempatan pekerja mereka mematuhi SOP termasuk memastikan semua pekerja menjalani ujian saringan COVID-19 dan disahkan bebas dari jangkitan sebelum dibenarkan bekerja di tapak pembinaan.

 

“Semua penggiat industri pembinaan diwajibkan mematuhi arahan semasa dan SOP yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan matlamat PKP 3.0 dapat dicapai,” ujar KKR lanjut. - DagangNews.com