150 usahawan Bumiputera dipilih sertai Latihan Intensif SUPERB | DagangNews Skip to main content

150 usahawan Bumiputera dipilih sertai Latihan Intensif SUPERB

 

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Nov - Sejumlah 150 usahawan belia Bumiputera berjaya menyertai Latihan Intensif (Accelerator) di bawah Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (SUPERB) 2021. 

 

Pertandingan keusahawanan syarikat pemula SUPERB, anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Siri ke-16 yang berasaskan pengenalan perniagaan bermatlamat untuk memperkasa kebolehan belia Bumiputera melalui segmen latihan intensif selama enam minggu bermula Sabtu ini. 

 

Peserta dipilih berdasarkan idea dan inovasi perniagaan yang berpotensi untuk dikomersialkan, berdaya tahan dan mampu diketengahkan dalam pasaran global.

 

“Daripada 150 idea perniagaan yang dipilih tahun ini, kebanyakannya adalah dari Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) bertemakan ekonomi digital, halal dan makanan, pelancongan, pembuatan, kewangan Islam, pertanian dan komoditi, pertahanan dan keselamatan, pembinaan modular, logistik, pengangkutan dan kelestarian mobiliti, serta aeroangkasa. 

 

"Idea-idea ini mencerminkan trend utama industri masa kini. TERAJU telah memilih idea perniagaan yang lestari dan bersifat penyelesaian kepada isu semasa serta permasalahan masyarakat.

 

“Kami berharap, rangkaian dan peluang pekerjaan yang berjaya dihasilkan melalui program SUPERB serta kesinambungan program lain di bawah TERAJU, dapat menyokong aspirasi ekonomi negara yang diunjurkan terus berkembang antara 5.5 hingga 6.5 % pada tahun hadapan," kata Pengarah Penyampaian Strategik (Ekuiti Korporat dan Keusahawanan) TERAJU, Rafaiq Bakri Zakaria dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sejak dilancarkan pada 2014, SUPERB berjaya 208 usahawan pemula Bumiputera dengan lebih dari 62% produk dan perkhidmatan mereka dikomersialkan di pasaran seluruh negara dan antarabangsa. Untuk tahun ini, SUPERB memberi penekanan kepada idea perniagaan KEGA di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

 

Dalam pada itu, ketua jurulatih skim berkenaan, Illyaz Yushaak berkata, program itu akan membantu peserta dari peringkat percambahan idea, permulaan perniagaan sehingga proses mengembangkan rantaian perniagaan mereka.

 

“Sesi latihan ini akan diadakan sepenuhnya dalam talian pada hujung minggu bagi memberikan fleksibiliti dan kesenangan kepada para peserta meneruskan urusan perniagaan atau urusan harian masing-masing. 

 

"Kami akan membimbing mereka dari segi pemasaran, pembinaan pangkalan data, pelancaran produk dan jualan untuk meningkatkan kebolehlaksanaan serta tahap pengkomersilan perniagaan," katanya.-DagangNews.com