16 kakitangan Proton sertai latihan kenderaan tenaga baharu selama 6 bulan di China | DagangNews Skip to main content

16 kakitangan Proton sertai latihan kenderaan tenaga baharu selama 6 bulan di China

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Dis - Proton menghantar seramai 16 kakitangannya ke Hangzhou, China bagi menyertai latihan selama enam bulan untuk mempelajari tentang kenderaan tenaga baharu (NEV). 

 

Program ini menempatkan mereka di Institut Penyelidikan Geely di Ningbo untuk dilatih dalam pelbagai bidang melibatkan pembangunan, penyepaduan, pembuatan, dan jualan serta perkhidmatan untuk kenderaan generasi baharu yang bakal diperkenalkan jenama automotif nasional ini.

 

Ahli rombongan itu adalah kakitangan pertama yang menjalani latihan NEV dan terdiri daripada pekerja industri berpengalaman dan jurutera muda yang lulus dari Program Bakat Muda Syarikat. 

 

Lebih ramai kakitangan akan dihantar pada masa hadapan memandangkan Proton memerlukan pengetahuan teknikal daripada Geely untuk membangunkan rangkaian NEVnya sendiri.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, apabila Proton dan Geely mula bekerjasama pada tahun 2017, salah satu matlamat perkongsian itu adalah untuk Proton mempercepatkan jadual pembangunan modelnya dengan menggabungkan teknologi yang sedia ada daripada Geely. 

 

Beliau berkata, matlamat itu berjaya dicapai dan kini mereka memanfaatkan pengalaman global kumpulan dalam NEV untuk memberi rangsangan kepada jadual masa pembangunan model mereka sendiri.

 

"Perancangan awal kami adalah memulakan program ini lebih awal tetapi ia telah ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.

 

 

proton
                                                                      Dr Li Chunrong

 

 

"Bagaimanapun, dengan kelonggaran terhadap sekatan perjalanan baru-baru ini, Proton kini boleh meraih manfaat sebagai salah satu jenama automotif kolektif paling pelbagai dan berfikiran ke hadapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Chunrong berkata, Proton melabur dalam pemerolehan pengetahuan untuk kakitangan kerana ia adalah cara terbaik untuk syarikat bergerak ke hadapan. 

 

 

proton

 

 

Katanya, pengalaman dan latihan yang mereka perolehi bukan sahaja akan memberi manfaat kepada syarikat tetapi secara tidak langsung, ia juga akan membantu meningkatkan tahap kemahiran industri automotif Malaysia apabila lebih ramai kakitangan dihantar untuk latihan. 

 

Selain daripada melatih pekerja dalam pelbagai aspek NEV, latihan kerja di China akan membantu dalam menentukan spesifikasi akhir untuk produk seperti smart #1, EV pertama yang dijual oleh anak syarikat NEV Proton, PRO-NET yang akan tiba pada suku keempat tahun 2023. 

 

Oleh kerana corak penggunaan dan tingkah laku pengguna berbeza dari negara ke negara, maklum balas daripada kakitangan Proton adalah penting untuk memastikan ia memenuhi keperluan pembeli Malaysia. - DagangNews.com