2020: Keuntungan pengeluar keluli Asia Pasifik dijangka merosot 15%  | DagangNews Skip to main content

2020: Keuntungan pengeluar keluli Asia Pasifik dijangka merosot 15% 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - Syarikat pengeluar keluli di negara-negara Asia Pasifik dijangka mengalami kemerosotan keuntungan sebanyak 15% sehingga Mac 2021.

Ini adalah berikutan pengeluar tidak mampu membekalkan permintaan yang mendadak dan kos adalah tinggi, sekali gus menjejaskan keuntungan mereka. 

Pengarah Urusan Kumpulan Kewangan Korporat Moody’s, Laura Acres berkata, pihaknya melihat COVID-19 telah melumpuhkan permintaan terhadap keluli daripada pemain industri utama.

“Tidak seperti kemerosotan sebelum ini yang berpunca daripada kekurangan bekalan dan peningkatan kapasiti yang besar,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Keuntungan EBITDA terkumpul setiap tan bagi sembilan syarikat pengeluar keluli utama Asia Pasifik akan menurun sebanyak 15% sepanjang 2020 hingga Mac 2021 selepas merosot 30% pada tahun sebelumnya.

Bagi bahan pembuatan keluli utama, harga bijih besi akan kekal tinggi sepanjang 12 bulan ini susulan bekalan dari pengeluar terkemukanya, Brazil mungkin mengalami gangguan akibat kes COVID-19 meningkat. 

Sementara itu, penurunan permintaan terhadap pengeluar kenderaan dan kelemahan dalam sektor pembinaan, infrastruktur dan pembuatan kapal akan mengakibatkan jumlah penjualan menguncup buat kali pertama sejak 2015.

“Korea dan Australia akan menyaksikan jumlah jualan turun kepada digit pertengahan tunggal, satu digit di India dan peratusan pertengahan di Jepun.

“China pula hanya sedikit terjejas memandangkan kerajaan menyalurkan langkah-langkah sokongan untuk pembinaan infrastruktur,” tambah beliau. 

Bagaimanapun, impak berkenaan adalah berbeza bagi setiap pengeluar dengan China Baowu Steel Goup Corporation Limited, POSCO dan BlueScope Steel Limited mendapat manfaat daripada profil kewangan yang kuat dan baki tunai yang besar. 

Ini terbukti berdasarkan prospek stabil mereka ketika industri terus menunjukkan prospek negatif. - DagangNews.com