225,950 pekerja asing disaring | DagangNews Skip to main content

225,950 pekerja asing disaring

saringan warga asing

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Seramai 225,950 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 sejak 1 Disember 2020.

 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah komulatif tersebut melibatkan 9,132 majikan.

 

"Daripada jumlah ini sebanyak 4,386 telah disahkan positif COVID-19 manakala 221,564 lagi adalah negatif. 

 

"Sehingga kini juga, sebanyak 876 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini," jelasnya dalam sidang media harian PKPP dan PKPB hari ini.

 

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

 

Bagi saringan semalam, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, seramai 7,541 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan.

 

Daripada jumlah tersebut, seramai 153 orang telah disahkan positif COVID-19.

 

Tambah beliau, proses saringan tersebut adalah selari dengan arahan kerajaan yang mewajibkan semua pekerja warga asing khususnya di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan untuk menjalani ujian saringan COVID-19.

 

Kos ujian tersebut adalah di bawah tanggungan majikan masing-masing.

 

Sementara itu, beliau turut mengumumkan pelaksaan PKP-Diperketatkan (PKPD) di dua lokasi baharu iaitu Pusat Transit Tahanan (PTP) melibatkan Blok Pusat Latihan Pegawai Penjara, Zon 2 dan Zon 3 Penjara Marang, Terengganu serta Pusat Koreksional Dungun, Terengganu dan Kuarters Kakitangan.

 

PKPD di kedua-dua kawasan tersebut dikenakan bermula 28 Januari hingga 10 Februari 2021. - DagangNews.com