2.64 juta pekerja terima subsidi upah 1.0 | DagangNews Skip to main content

2.64 juta pekerja terima subsidi upah 1.0

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Mac - Seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat Program Subsidi Upah (PSU) 1.0 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) setakat 26 Februari 2021.

 

Bagi tempoh sama, permohonan subsidi upah yang diluluskan telah mencapai nilai RM12.769 bilion, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

 

“Kenaikan tidak berapa banyak berbanding minggu lepas, tetapi kita juga perlu ingat bahawa banyak sektor ekonomi telahpun dibuka semula, namun dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan berdisiplin. 

 

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul Abdul Aziz

 

“Sementara itu, di bawah Kita Prihatin pula, kita ada PSU 2.0. Setakat 26 Februari, sejumlah RM808.31 juta telah disalurkan kepada 66,591 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 554,876 pekerja,” katanya ketika menyampaikan Laporan Laksana ke-44 secara langsung di Facebook miliknya hari ini.

 

Bagi inisiatif pengekalan dan penjanaan pekerjaan menerusi Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan, seramai 131,568 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melaluinya setakat 26 Februari lalu, katanya.

 

Tambah Tengku Zafrul, angka itu meningkat berbanding 130,328 pada minggu lepas. 

 

“Penambahan 1,240 pekerjaan dalam tempoh seminggu mungkin bunyinya tidak besar, namun sikit-sikit, lama-lama jadi bukit, InsyaAllah. 

 

“Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit,” ulasnya lanjut.

 

Dalam pada itu, di bawah Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran, seramai 136,927 peserta telah diluluskan setakat 26 Februari berbanding 136,918 pada minggu sebelumnya untuk mengambil bahagian dalam program-program yang disediakan, tambah Tengku Zafrul. 

 

Katanya, senarai kursus-kursus yang mendapat permintaan boleh dilihat melalui pautan Kementerian Kewangan. 

 

“Selain itu, pemohon juga boleh layari laman web agensi-agensi kerajaan seperti yang dimaklumkan di dalam laporan bertulis, untuk mendapatkan maklumat mengenai kursus-kursus yang ditawarkan. 

 

“Bagi mereka yang sedang mencari pekerjaan terutamanya golongan belia, anda semua dijemput menyertai kursus-kursus ini,” ujarnya lagi. - DagangNews.com