28,000 pekerja asing FGV nikmati manfaat kesihatan | DagangNews Skip to main content

28,000 pekerja asing FGV nikmati manfaat kesihatan

Pekerja migran FGV menerima nasihat perubatan di Klinik Jeragan Bestari FGV, Sahabat, Sabah

 

 

KUALA LUMPUR 8 Dis. - FGV Holdings Bhd. menyediakan peruntukan kemudahan kesihatan sebanyak RM5.6 juta setahun yang boleh dimanfaatkan 28,000 pekerja migrannya. 

 

Peruntukan tersebut membolehkan mereka mendapatkan rawatan pesakit luar dan menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik-klinik kesihatan berhampiran. 

 

Dalam masa sama, FGV turut menanggung kos rawatan dan perubatan bagi pekerja yang memerlukan rawatan jangka panjang di hospital sama ada akibat kemalangan di dalam dan di luar tempat kerja atau lain-lain penyakit kronik dan tidak kronik.

 

Ketua Pegawai Operasi Sektor Perladangan Kumpulan FGV, Syed Mahdhar Syed Hussain berkata, bagi menyediakan akses perkhidmatan kesihatan yang lebih pantas terutama di kawasan pedalaman, FGV mengambil langkah proaktif membina klinik-klinik di ladang-ladang operasi dengan bimbingan Kementerian Kesihatan. 

 

Setakat ini, katanya, sebanyak RM350,000 telah diperuntukkan untuk membina 5 buah klinik di ladang Aring (Kelantan), Selendang 3, Lepar Utara 11 dan Kechau 2 (Pahang) dan Sahabat 36 (Sabah) memandangkan akses kemudahan klinik kesihatan berhampiran adalah terhad.

 

“Selain itu, setiap pekerja migran yang berkhidmat di ladang FGV turut mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), khususnya tuntutan kecederaan. 

 

"Di samping memenuhi kewajipan majikan dalam pematuhan undang-undang, caruman Perkeso membolehkan pekerja ladang kami memanfaatkan pelbagai kemudahan rawatan kecemasan dan pampasan sekiranya berlaku kemalangan di tempat kerja," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

FGV turut menanggung perbelanjaan tiket kapal terbang untuk menghantar pekerja migran pulang ke negara asal sekiranya pekerja berkenaan ingin mendapatkan rawatan lanjut di sana. 

 

Sekiranya berlaku kematian atau kehilangan jiwa dalam perkhidmatan, FGV menanggung kos penghantaran pulang jenazah pekerja ke negara asal.

 

Syed Mahdhar berkata, sebagai inisiatif untuk memudahkan pekerja migran membuat pemeriksaan saringan kesihatan, FGV sedang dalam perbincangan dengan pengamal perubatan swasta yang mempunyai keahlian bersama Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) untuk mewujudkan fasiliti saringan di Pusat Sehenti FGV. 

 

"Segala urusan permohonan bersama FOMEMA akan diuruskan oleh pengamal perubatan tersebut," katanya.

 

Beliau memberitahu, dengan adanya fasiliti ini, urusan Fomema untuk pekerja baharu dan juga sambungan kontrak dapat dilaksanakan dengan teratur serta menjimatkan kos perjalanan ke tempat pemeriksaan saringan. 

 

Malah, katanya, fasiliti perubatan ini juga dapat dimanfaatkan oleh warga peneroka dan penduduk di kawasan sekitar. - DagangNews.com