3 pelajar perubatan Universiti UCSI jalankan penyelidikan impak tinggi di Harvard Medical School | DagangNews Skip to main content

3 pelajar perubatan Universiti UCSI jalankan penyelidikan impak tinggi di Harvard Medical School

Harvard Medical School
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Sept - Tiga pelajar Doktor Perubatan (MD) Universiti UCSI akan menjalankan penyelidikan berimpak tinggi di Harvard Medical School Brigham and Women’s Hospital selama setahun bermula 15 September 2022.

 

Fiona Ho Jing Min, Clarice Siow Jing Rou dan Ngu Hui Ling dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UCSI akan memulakan penyelidikan di Amerika Syarikat (AS) berkaitan faktor perubahan aldosteron dan kesan terhadap tubuh manusia.

 

Fiona, 22 mengakui teruja apabila terpilih dalam program Star-Trek dan diberi peluang menyertai komuniti penyelidikan di Harvard Harvard Medical School Brigham and Women’s Hospital.

 

“Saya rasa bersyukur sangat diberi peluang untuk menyertai komuniti penyelidikan di Harvard. Pihak universiti sediakan latihan di makmal selama 14 hari bagi memastikan kami cukup mahir dengan asas kemahiran di makmal.

 

“Fokus penyelidikan kami ini untuk memahami lebih mendalam tentang mekanisme hormon yang berkait dengan penyakit kardiovaskular iaitu punca utama kematian di seluruh dunia.

 

“Ia merupakan salah satu hormon yang memainkan peranan penting dalam mengawal tekanan darah tinggi dan secara tidak langsung memberi kesan kepada kesihatan sistem kardiovaskular manusia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

UCSI

 

Sejak 2014, seramai 14 orang pelajar MD Universiti UCSI terpilih melalui program Star Trek itu bagi menjalankan penyelidikan berimpak tinggi di Harvard.

 

Menerusi program Star Trek itu, pelajar UCSI akan dipilih oleh mana universiti-universiti terbaik dunia termasuk Harvard University, Imperial College London, The University of Chicago, Tsinghua University, The University of British Columbia dan The University of Queensland dalam pelbagai disiplin untuk menyertai penyelidikan berimpak tinggi.

 

Sementara itu, Clarice, 21 berharap penyelidikannya itu dapat membantu kehidupan manusia pada masa depan.

 

“Pertubuhan Kesihatan Dunia anggarkan 17.9 juta orang meninggal dunia akibat penyakit kardiovaskular pada 2019. Angka itu mewakili 32% kematian di seluruh dunia untuk tahun itu," katanya.

 

Dalam pada itu, Hui Ling, 21 yang turut teruja dengan peluang berharga itu berharap dia dapat menerbitkan kertas penyelidikan itu nanti yang diyakini bakal memberi manfaat untuk masa depan. - DagangNews.com