3,000 kunjungi rumah terbuka sambutan Krismas peringkat negeri Selangor | DagangNews Skip to main content

3,000 kunjungi rumah terbuka sambutan Krismas peringkat negeri Selangor

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Dis - Kira-kira 3,000 mengunjungi sambutan perayaan Krismas dan Rumah Terbuka Peringkat Negeri Selangor 2022 yang berlangsung di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.

 

Inisiatif ini merupakan antara usaha Kerajaan Selangor dalam menyantuni pelbagai agama dan kaum yang menetap di negeri itu, di samping meningkatkan kerecaman dan keharmonian antara kaum dan agama.

 

Pelbagai persembahan menarik yang berlangsung dalam majlis itu, antaranya Violinist, Dr Joanne Yeoh, FGT Church Choir, GA611 Church, Roman Catholic Church dan Kaya Band, serta jamuan makanan percuma untuk semua pengunjung daripada Hijrah Selangor.

 

Sambutan Krismas pada tahun ini turut dimeriahkan lagi dengan sumbangan kepada rumah ibadat agama Kristian di Selangor berjumlah RM593,460 dan sumbangan khas kepada badan pelaksana bahagian agama di dalam kumpulan LIMAS (Budha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao).

 

Selain itu, sumbangan turut diberikan kepada 55 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beragama Kristian.

 

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan terus melindungi dan menggandakan usaha dalam meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat secara berterusan. 

 

"Oleh itu, sebarang tindakan yang boleh menggugat perpaduan rakyat dan kestabilan kerajaan perlu dielakkan sekiranya kita mahu melaksanakan agenda pembangunan mampan bagi meningkatkan kedudukan sosioekonomi rakyat dan meningkatkan kemajuan khususnya di kawasan luar bandar," katanya dalam satu kenyataan.

 

 

krismas

 

 

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Hee Loy Sian pula berkata, keunikan sambutan rumah terbuka itu merupakan salah satu platform mengetengahkan sambutan perayaan yang ada di negara ini, yang melambangkan identiti dan kebudayaan. 

 

"Hal ini juga dapat menarik minat para pelancong untuk datang berkunjung ke Selangor melalui kepelbagaian acara yang berkonsepkan pelancongan seperti ini," katanya.

 

 

krismas

 

 

Penganjuran sambutan perayaan, seperti majlis sambutan perayaan Krismas pada tahun ini mampu mengetengahkan Selangor sebagai sebuah negeri harmoni dengan kerjasama erat pelbagai kaum dan agama. 

 

Ia bukan sahaja mampu meningkatkan kefahaman tentang kepercayaan masyarakat lain, malah signifikasi kepelbagaian budaya di Malaysia yang merupakan antara tonggak utama negara ini. 

 

Usaha ini selaras dengan Kempen Pusing Selangor Dulu! yang menekankan kepada pelancongan domestik yang disokong teguh oleh rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama. - DagangNews.com