Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Ogos - Malaysia mencatatkan jumlah kematian akibat wabak COVID-19 yang tertinggi sebanyak 360 kes semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisyam Abdullah berkata, jumlah yang dicatatkan itu menjadikan kes kumulatif kematian di Malaysia melonjak kepada 10,749 (0.85%) bagi tempoh sama.
"296 kes kematian adalah warganegara dan 64 bukan warganegara.
"85 kes adalah Brought-In-Dead (BID) (56 warganegara dan 29 bukan warganegara)," katanya menerusi kenyataan akhbar situasi semasa jangkitan penyakit COVID-19 di Malaysia semalam.
Sementara itu, ringkasan kes kematian baharu yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati, 277 daripada jumlah kematian semalam mempunyai masalah komorbiditi atau penyakit lain.
Bagaimanapun, sebanyak 83 kes lagi tiada komorbiditi.
Bagi pecahan kematian mengikut jantina pula, sebanyak 198 kes adalah melibatkan golongan lelaki dan 162 lagi adalah kes kematian perempuan.
Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi sebanyak 221, diikuti Kuala Lumpur (41), Melaka (20), Perak (17), Pulau Pinang (15) dan Johor (14).
Kedah (7), Pahang (6), Negeri Sembilan (6), Terengganu (5), Sabah (5) Putrajaya (2) dan Kelantan (1). - DagangNews.com