3M umum transformasi zon sekolah bagi tingkatkan keterlihatan pejalan kaki | DagangNews Skip to main content

3M umum transformasi zon sekolah bagi tingkatkan keterlihatan pejalan kaki

Di Malaysia, lebih setengah juta kemalangan jalan raya direkodkan pada Mac 2020 hingga Oktober 2021

KEMALANGAN jalan raya adalah punca utama kematian kanak-kanak berusia lima tahun ke atas di seluruh dunia, menurut data daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.

 

Bagi membantu melindungi nyawa pejalan kaki yang paling terdedah kepada bahaya iaitu kanak-kanak, 3M mengumumkan komitmennya untuk meningkatkan keselamatan dan keterlihatan 100 zon sekolah di 23 negara, termasuk Malaysia dan sepuluh negara di rantau Asia serta seluruh dunia menjelang 2024.

 

Keadaan jalan yang tidak diselenggara, ketiadaan laluan untuk melintas dan kadar keterlihatan yang rendah di zon sekolah mendedahkan murid-murid kepada risiko ketika mereka berjalan kaki atau berbasikal untuk pergi dan balik dari sekolah.

 

Kadar kemalangan yang berlaku di zon sekolah meningkat secara drastik dalam kalangan negara-negara dan komuniti berpendapatan rendah menandakan dengan jelas keperluan untuk melakukan perubahan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

 

3M menyedari keperluan untuk menangani bahaya tersebut dengan segera dan menjadikan zon sekolah lebih selamat.

 

Presiden Bahagian Keselamatan Pengangkutan 3M, Dr. Dan Chen berkata, komitmen 3M untuk menambah baik keselamatan zon sekolah berteraskan kepada keyakinan bahawa setiap kanak-kanak berhak diberi peluang untuk mendapatkan pendidikan, dan pergi ke sekolah dengan selamat tidak sepatutnya menjadi satu halangan.

 

“Dalam tempoh dua tahun akan datang, kami akan bekerjasama dengan NGO dan agensi kerajaan bagi meningkatkan keselamatan di zon sekolah dan membangunkan model yang boleh diperluaskan untuk komuniti berisiko tinggi dan kekurangan sumber membina jalan yang lebih selamat untuk semua kanak-kanak.”

 

Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusannya terhadap keselamatan jalan raya dan pengangkutan, 3M telah melantik penyelidik bebas pihak ketiga di 11 negara pada 2021 bagi mengenal pasti kebimbangan utama dalam kalangan orang dewasa berkaitan keselamatan ketika berulang alik pulang dan keluar dari rumah, serta pandangan mereka mengenai tahap keselamatan pengangkutan dalam komuniti mereka.

 

 

parafrasa

 

 

Di Asia Pasifik, seramai 46% responden memaklumkan ada ahli keluarga atau rakan baik mereka yang telah meninggal dunia atau cedera parah akibat kemalangan jalan raya, di mana angka itu jauh lebih tinggi berbanding 33% di seluruh dunia.

 

Sementara itu, 84% ibu bapa (berbanding 75% di peringkat global) bimbang tentang keselamatan anak-anak mereka semasa pergi dan pulang dari sekolah, menjadikannya kebimbangan mengenai keselamatan pengangkutan paling utama di kalangan komuniti.

 

Di Malaysia, lebih setengah juta kemalangan jalan raya direkodkan pada Mac 2020 hingga Oktober 2021, membabitkan 5,412 kes kemalangan maut dengan 5,739 kematian.

 

Maka itu, Ketua Negara 3M Malaysia, GT Lim menekankan sokongan 3M Malaysia terhadap inisiatif ini dengan menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk melakukan sesuatu bagi melindungi generasi pemimpin akan datang.

 

“Memandangkan murid-murid di seluruh dunia telah kembali ke sekolah setelah sekian lama menjalani sesi pembelajaran di dalam talian akibat pandemik, ianya menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi mereka sebaik mungkin.

 

‘’Untuk itu, 3M Malaysia telah bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya MaLaysia (MIROS) menjayakan mesej penting ini dan melindungi murid-murid sekolah kita.”

 

Set pertama transformasi zon sekolah akan dimulakan pada tahun ini di Amerika Syarikat semasa Bulan Kesedaran Pemandu Terganggu Kebangsaan pada April.

 

3M akan bekerjasama dengan bandar Nashville, Tennessee, menyatukan pemimpin komuniti, guru dan murid-murid bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya tingkah laku pemandu bermotor terganggu di zon sekolah.

 

3M bekerjasama dengan Collier Engineering and Design dan Civic Design Center bagi mereka bentuk semula model jalan raya zon sekolah di Robert Churchwell Museum Magnet Elementary School dan Madison Campus Elementary School di Nashville.


 

parafrasa

 


Kerjasama komuniti

Selama lebih daripada lapan dekad, Bahagian Keselamatan Pengangkutan 3M telah menjalankan misi untuk memajukan infrastruktur pengangkutan dan mobiliti global.

 

Pemasangan bahan dan teknologi jalan raya berprestasi tinggi , seperti Kepingan Reflektif Gred Berlian untuk papan tanda zon sekolah dan Pita Penanda Jalan Berturap bagi membantu meningkatkan kadar reflektif dan keterlihatan untuk para pemandu kenderaan dan pejalan kaki, telah banyak membantu keluarga pulang ke rumah dengan selamat.

 

Walaupun teknologi dan inovasi memainkan peranan penting dalam mewujudkan keadaan jalan raya yang lebih selamat, 3M terus bekerjasama dengan pemimpin komuniti, sivik dan kerajaan, penggubal dasar, NGO dan organisasi lain bagi membantu menerajui perubahan dan mencipta sistem jalan raya yang lebih selamat di seluruh dunia.

 

Sebagai ahli Kompak Global PBB, 3M yakin dalam peranan yang boleh dimainkan menerusi kerjasama awam-swasta bagi menangani isu-isu yang mendesak di seluruh dunia, seperti keselamatan jalan raya dan pengangkutan.

 

3M merupakan satu daripada penandatangan Gesaan Terhadap Presiden Biden untuk Menghentikan Kematian di Jalan Raya dan ikrar Dekad Tindakan Keselamatan Jalan Raya Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi mengekang sekurang-kurangnya 50 peratus kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya menjelang 2030. – DagangNews.com