4 peruntukan Belanjawan 2021 bantu rapatkan jurang digital PKS - Sage | DagangNews Skip to main content

4 peruntukan Belanjawan 2021 bantu rapatkan jurang digital PKS - Sage

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Peruntukan sehingga RM9.4 bilion di bawah Belanjawan 2021 untuk perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bakal membangunkan strategi digital negara di segenap sektor industri.

Menerusi peruntukan itu, jurang digital dapat diatasi selain syarikat-syarikat boleh melengkapkan perniagaan mereka ke arah pemulihan dan ketahanan.

Sehubungan itu, Ketua Syarikat Permulaan dan Perniagaan Kecil di Sage Asia, Azlan Ahmad menggariskan empat peruntukan di bawah belanjawan yang diumumkan baru-baru ini, dapat membantu aspek pendigitalan PKS.

 

Azlan Ahmad
Azlan Ahmad

 

Skim pembiayaan kredit mikro untuk perniagaan bermasalah

Azlan berkata, kebanyakan syarikat ketika ini memerlukan tunai dan kredit untuk memastikan perniagaan mereka dapat diteruskan.

“Sebanyak RM1.2 bilion yang diperuntukan untuk skim mikro kredit menjadi bantuan besar buat perniagaan yang lemah di mana sumber kewangan atau sejarah kredit mereka menghalang kelayakan untuk pinjaman perniagaan tradisional.

“Melihat kebanyakan mereka bertahan selama dua bulan tanpa hasil, ini dapat meringankan beban aliran tunai mereka,” kata Azlan.

 

Pembayaran digital dan e-perdagangan untuk aliran tunai sihat

Menerusi langkah meletakkan pembayaran digital sebagai keutamaan, perniagaan dapat meningkatkan dan mempercepat aliran tunai menerusi e-pembayaran berbanding invois tradisional.

Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) diperkenalkan menerusi pinjaman daripada institusi perbankan – satu sambutan yang dialu-alukan untuk menyediakan dana buat PKS yang memerlukan,” tambah Azlan.

 

Program latihan dan peralatan digital

Pakej rangsangan kerajaan untuk mengoptimumkan e-perdagangan dan e-dompet dengan platfrom perbelanjaan lancar amat penting ketika ini, kata Azlan.

"Peruntukan sebanyak RM150 juta untuk program latihan dan peralatan digital buat 100,000 usahawan akan mempercepat penggunaannya di bawah Kempen e-Perdagangan PKS dan Mikro PKS.

"E-perdagangan akan membawa PKS ke peringkat seterusnya merentas sempadan tempatan dan menembusi perniagaan antarabangsa,“ jelas Azlan.

 

Meningkatkan ketersambungan internet

Azlan melihat kerjasama kerajaan dengan sektor swasta untuk mencapai peningkatan ketersambungan internet amat menggalakkan.

Sebanyak RM1.5 bilion diberikan untuk melaksanakan program Jaringan Prihatin yang mengagihkan kredit mudah alih.

"Ini bermakna kira-kira 8 juta individu dalam kategori B40 menerima akses ke e-perdagangan, sekali gus melonjakkan pertumbuhan transaksi digital dan penggunaan tempatan.

"Usaha kukuh ini jika dilaksanakan dengan berkesan akan terus menyokong PKS seiring pemulihan mereka di samping mempercepat penggunaan teknologi dan pendigitalan," tambah Azlan. – DagangNews.com