Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Sept. - Prestasi ekonomi negara menunjukkan pemulihan yang lebih baik sejajar dengan pembukaan sektor ekonomi bermula pada Mei yang dijangka berterusan dalam tempoh separuh kedua 2020.
Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah berkata, pemulihan yang lebih baik itu dinilai berdasarkan kepada lima indikator awal ekonomi yang dicapai pada Julai 2020.
Lima indikator awal ekonomi yang dicapai pada Julai 2020 adalah seperti berikut;
- Kenaikan kadar eksport negara 3.1% dari tahun ke tahun
- Jualan kereta penumpang mencatatkan kenaikan 27.3%
- Jualan kenderaan perdagangan melonjak 44.8%
- Pergerakan penumpang domestik melonjak 215.8%
- Jumlah kenderaan di lebuh raya bertol meningkat 7.4%
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Husain Awang (PAS) mengenai langkah strategik kerajaan dalam mengukuhkan ekonomi negara serta meningkatkan kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang suku keempat 2020 di Dewan Negara hari ini.
Perincian terhadap ekonomi negara membuktikan penguncupan terhadap KDNK yang semakin mengecil daripada 28.6% pada April kepada 19.5% pada Mei.
Penguncupan tersebut terus mengecil kepada paras 3.2% pada Jun 2020 sebelum mencapai tahap pemulihan yang lebih baik pada Julai.
Tambah beliau lagi, berdasarkan prestasi separuh kedua 2020 yang lebih baik itu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pertumbuhan ekonomi negara bagi keseluruhan tahun 2020 dijangka antara -5.5% hingga -3.5%.
"Manakala untuk tahun 2021, BNM telah mengunjurkan ekonomi akan dijangka berkembang sekitar 5.5% hingga 8%," jelasnya. - DagangNews.com