SHAH ALAM 9 Jun – Seramai 50 usahawan Indonesia dijadualkan menyertai program bimbingan syarikat latihan dan bimbingan keusahawanan RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) yang julung-julung kalinya diadakan di Indonesia pada September ini.
Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd. berkata, penyertaan itu merupakan langkah strategik syarikat itu dalam meneroka negara republik yang mempunyai saiz pasaran sebanyak 274 juta orang itu.
“Seramai 50 peserta itu akan menyertai Inner Circle Meeting (ICM) membabitkan kira-kira 300 usahawan Titanium yang dijadualkan berlangsung di sebuah resort di Pulau Bali, Indonesia pada 7 hingga 11 September ini.
“Usahawan-usahawan tersebut merupakan kumpulan pertama yang senarai pendek dan dihantar oleh Kementerian Ekonomi Kreatif dan Pelancongan Indonesia,” katanya kepada DagangNews.com di Setia Alam Convention Centre, baru-baru ini.
Terdahulu Radz dan Pengasas RichWorks, Datuk Wira Dr. Azizan Osman menyampaikan seminar Bina Bisnes Berjaya yang dihadiri oleh lebih 6,000 usahawan dari seluruh negara.
Tambah Radz, penyertaan 50 usahawan itu susulan perbincangan Azizan dan Kementerian Ekonomi Kreatif dan Pelancongan Indonesia Sandiaga Uno yang diadakan pada 2 Jun lalu.
“Pasaran Indonesia termasuk dalam perancangan strategik RichWorks memandangkan terdapat lebih 30 juta usahawan yang berdaftar dengan Kementerian Ekonomi Kreatif dan Pelancongan.
“Kami sangat teruja dengan penyertaan 50 usahawan berkenaan dan sudah tentu RichWorks mempunyai banyak sebab untuk memasuki pasaran Indonesia memandangkan model bimbingan usahawan kami terbukti secara angka, berjaya menjadikan ramai usahawan menjadi jutawan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Richworks bakal kongsi kepakaran bimbing lebih 30 juta usahawan di Indonesia
Untuk rekod, RichWorks menyediakan tiga modul mentorship utama bimbingan usahawan yang dijenamakan sebagai Titanum, Spire dan Elite-X.
Dalam perkembangan berkaitan, Radz turut menjemput orang ramai untuk menyertai program Business Metamorphosis Bootcamp (BMB) yang akan dijadualkan pada 5 hingga 7 Ogos ini.
Layari laman web https://richworks.com/bmb/ untuk maklumat lanjut mengenai BMB. - DagangNews.com