56 usahawan INSKEN catat hasil jualan sebanyak RM437,000 melalui Program IBBC Edisi Sarawak 2022 | DagangNews Skip to main content

56 usahawan INSKEN catat hasil jualan sebanyak RM437,000 melalui Program IBBC Edisi Sarawak 2022

Seramai 56 usahawan berjaya meningkatkan hasil jualan sebanyak RM437,000 menerusi program IBBC anjuran INSKEN.

KUCHING 13 Okt - Seramai 56 usahawan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) mencatatkan hasil jualan sebanyak RM437,000 melalui Program INSKEN Bimbingan Perniagaan Bumiputera (IBBC) Edisi Sarawak 2022.

 

Program IBBC merupakan program bimbingan pembangunan usahawan bagi meningkatkan skala perniagaan mengikut industri yang berkaitan. 

 

Program yang dijalankan selama empat bulan itu bertujuan memberikan panduan kepada usahawan tempatan untuk mengembang dan melonjakkan prestasi perniagaan selain usahawan berpeluang untuk mempelajari serta menguasai teknik menguruskan perniagaan dengan lebih berkesan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd. Firdaus Azharuddin berkata, program itu berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan apabila lebih separuh daripada jumlah peserta kedua-dua program telah meningkatkan hasil jualan perniagaan di antara 20% hingga melebihi 100%. 

 

"Dalam masa yang sama 15 pekerjaan baharu dicipta dalam tempoh empat bulan program tersebut dijalankan.
 

"Program IBBC ini dilengkapi dengan aspek latihan dan bimbingan menyeluruh. Peserta juga dipantau bagi memastikan skala serta kemahiran perniagaan dapat ditingkatkan untuk berdepan dengan pelbagai cabaran yang bakal mendatang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

insken
Antara graduan yang berjaya menamatkan program bimbingan INSKEN Edisi Sarawak 2022.

 

Program itu disempurnakan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dr. Ripin Lamat dan berjaya menghimpunkan seramai 56 usahawan yang terbahagi kepada 29 peserta daripada industri Kafe dan Restoran dan sebanyak 27 peserta daripada Industri Jualan Pasar Raya (Makanan & Minuman). 

 

Kedua-dua program itu dijalankan secara komprehensif hasil kolaborasi strategik bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

 

Sementara itu, usahawan IBBC Jualan Pasar Raya, Dayang Hartini Abang Ismail merupakan peserta paling cemerlang dengan peningkatan hasil jualan sebanyak 174% menerusi Koleksi Alieniey. 

 

Faktor utama kejayaan dicapai apabila bungkusan produk yang lebih menarik telah dihasilkan selain daripada pemasaran secara atas talian dipergiat. 


Beliau yang menjalankan perniagaan pelbagai produk seperti kek lapis, kerepek dan jeruk turut berjaya menambah bilangan pekerja.


Manakala hasil jualan tertinggi bagi peserta program IBBC industri Kafe & Restoran dicatatkan oleh Florina Ariffin @ Jelebat daripada Isna Corner, sebanyak 57%.

 

Selain penekanan pengurusan perniagaan dan pekerja, pengiraan kos modal dan bahan makanan seperti laksa Sarawak, bakso, ayam penyet dan lain-lain turut menjadi penyumbang kepada kecemerlangan beliau.

 

Sehingga September 2022, INSKEN telah melaksanakan 21 program IBBC pada tahun ini dan 2022 merupakan tahun keenam ia dianjurkan. - DagangNews.com