KUALA LUMPUR 10 Okt - Enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam industri rokok elektronik atau vape akan menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar pandangan mereka disertakan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau Dasar Generasi Penamat (GEG).
NGO terlibat ialah Malaysia E-Vaporizers and Tobacco Alternative Association (MEVTA), Malaysia Retail Electronic Cigarette Association (MRECA), Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Malaysia e-Liquid Brewers Association (MEBA), Persatuan Peniaga Vape Melayu (PPVM) dan Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM).
Langkah itu akan dilakukan selepas mereka mendakwa mereka disisihkan Kementerian Kesihatan (KKM) daripada memberikan sebarang pandangan.
Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli berkata, industri tidak pernah meminta sebarang bantuan daripada kerajaan sejak bertapak di Malaysia sebaliknya terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan untuk berkembang.
Belia berkata, industri itu telah mencipta ekosistem yang sangat besar dengan hampir 200,000 isi rumah bergantung pendapatan daripadanya.
“Jika lihat, Industri lain minta macam-macam. Kami tak minta subsidi apa pun.
"Apa yang kami minta adalah satu RUU yang boleh mengawal selia industri ini agar ia lebih selamat. Tidak ada industri yang meminta dikawal selia. Hanya industri vape. Kawal selia yang kami minta tapi sekarang ini kelihatan ditekan pula dengan GEG.
“Ini adalah industri milik orang Melayu, kerana industri vape, hidup ramai orang berubah. Jika kita tutup periuk nasi, apa kita nak beritahu pada keluarga-keluarga mereka?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bagi bacaan kali kedua ditangguh hari selepas perlu dibawa dan diluluskan oleh Kabinet sebelum dibentangkan.
Sementara itu, Timbalan Presiden MVIA, Rustam Affendi Ismadi Rahimi berkata, pada pasa hadapan, apabila RUU ini dibentangkan sekali lagi, industri berharap kerajaan boleh mengambil kira pandangan dan keluhan industri dan menyertakan mereka dalam libat urus dari mula hingga RUU dibentangkan.
”Jika kami tidak bersuara, siapa lagi. Ini adalah perjuangan kami dan kami akan berjuang sehingga akhir.
"Ini periuk nasi 50,000 pemain industri dari pekerja, pengilang dan peruncit. Ramai pekerja kami dari golongan B40. Ada yang tidak pernah bersekolah. Industri ini memberi peluang kepada mereka untuk bekerja dengan gaji yang setimpal bagi menyara keluarga mereka.
”Kami mahu berjumpa sendiri dengan Perdana Menteri untuk menyuarakan cadangan dan keluhan kami," katanya. - DagangNews.com