60% penduduk dewasa dijangka lengkap 2 dos vaksin menjelang Hari Kebangsaan | DagangNews Skip to main content

60% penduduk dewasa dijangka lengkap 2 dos vaksin menjelang Hari Kebangsaan

Gambar Facebook Muhyiddin Yassin

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Menjelang 31 Ogos 2021 atau pada Hari Kebangsaan Malaysia ke-64, negara dijangka menyaksikan lebih 60% penduduk dewasa menerima dos lengkap suntikan vaksin COVID-19.

 

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah diberikan taklimat oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) pagi ini. 

 

Katanya, proses vaksinasi berjalan mengikut jadual setakat ini.

 

“Menjelang 31 Ogos 2021, lebih 60% penduduk dewasa atau lebih 40% keseluruhan penduduk di negara kita dijangka telah menerima dos lengkap suntikan vaksin.

 

“Ini pastinya merupakan khabar gembira buat kita semua menjelang sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasmi milik beliau, hari ini.

 

Sementara itu, menjelang akhir Oktober 2021, seramai 100% penduduk dewasa atau 80% jumlah penduduk keseluruhan dijangka mendapat dos lengkap suntikan vaksin.

 

Sehubungan itu, Muhyiddin menzahirkan keyakinannya bahawa sasaran berkenaan boleh dicapai berdasarkan prestasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang memberangsangkan setakat ini.

 

“Menurut data terkini yang tersedia baik di negara kita atau negara luar, jumlah kes-kes dalam kategori 4 dan 5 serta kadar kematian akan menurun dengan mendadak apabila kadar vaksinasi telah meningkat.

 

“InsyaAllah, kita doakan agar negara kita dapat keluar daripada pandemik ini dengan kadar segera,” ujar beliau lanjut. 

 

Lewat petang semalam, Muhyiddin dalam satu perutusan khas turut mengumumkan beberapa kelonggaran aktiviti ekonomi untuk individu yang lengkap menerima dos suntikan vaksin COVID-19, antaranya perjalanan rentas daerah dan kebenaran makan di dalam restoran. - DagangNews.com