Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 14 Julai - Sebanyak 65% rakyat Malaysia menunjukkan minat menggunakan perkhidmatan perbankan digital.
Hasil Kajian Sikap Pembayaran Pengguna Visa turut menunjukkan bahawa lebih tujuh daripada 10 rakyat Malaysia (74%) maklum terhadap perkhidmatan berkenaan.
Kajian sama mendapati 43% daripada rakyat Malaysia kini tidak mengunjungi mana-mana cawangan bank dan mengambil keputusan untuk hanya menggunakan khidmat perbankan dalam talian.
Visa berkata, rakyat Malaysia juga tertarik untuk menggunakan perkhidmatan bank digital kerana percaya perkhidmatan yang ditawarkan adalah lebih cekap, mudah, senang diakses dan selamat.
Pengurus Negara bagi Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata, pihaknya terus berganding bahu dengan bank-bank tradisional yang sedang membina keupayaan perbankan digital dan rakan-rakan niaga sedia ada yang mencipta perkhidmatan perbankan digital baharu untuk menambah nilai dan memenuhi keperluan semasa rakyat Malaysia.
Menurutnya, Kajian Sikap Pembayaran Pengguna Visa menunjukkan bahawa Malaysia bersedia untuk berhijrah kepada kemudahan digital.
"Berasaskan data, rakyat Malaysia bukan sahaja bersikap terbuka kepada bank-bank tradisional tetapi juga peserta baharu yang akan diberikan lesen perbankan digital.
"Mereka juga menyuarakan minat terhadap perkhidmatan perbankan digital oleh jenama-jenama terkenal (71%), jenama perkhidmatan kewangan (65%), dan juga syarikat-syarikat pemula (60%).
"Kami percaya usaha sama antara kerajaan, bank tradisional dan institusi yang memohon untuk lesen perbankan digital amat penting bagi meningkatkan tahap keterangkuman kewangan, bukan sahaja bagi golongan berada, tetapi juga penduduk yang kurang mendapat perkhidmatan dan perhatian," katanya dalam satu kenyataan.
Kajian juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia terdorong untuk bertukar kepada bank digital kerana ganjaran lebih menarik (78%) dan kos lebih rendah (72%).
Kecenderungan menggunakan perkhidmatan perbankan digital adalah bagi melaksanakan keperluan perbankan asas, dengan minat paling tinggi ditunjukkan untuk menggunakan perkhidmatan perbankan digital bagi pembayaran bil (78%), pemindahan dana kepada rakan dan keluarga (69%), pembayaran di lokasi runcit (62%) dan deposit dan pengeluaran (61%).
Sehubungan itu, Visa memperkasakan rakan-rakan niaga dengan membantu menyediakan asas untuk membina pengalaman pengguna yang unik dan relevan serta menambah baik tawaran nilai masing-masing sambil menyediakan perkhidmatan perbankan digital.
"Menerusi rangkaian kami, rakan-rakan niaga boleh menerima pembayaran, menawarkan kemudahan pindahan wang dan perkhidmatan nilai tambah lain seperti risiko, data keselamatan, kesetiaan dan penglibatan pelanggan demi memenuhi keperluan pelanggan," katanya lagi. - DagangNews.com