70 program akademik kolej komuniti raih akreditasi penuh TTAC dan MBOT | DagangNews Skip to main content

70 program akademik kolej komuniti raih akreditasi penuh TTAC dan MBOT

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Nov - Sejumlah 70 program akademik yang ditawarkan oleh 50 kolej komuniti seluruh negara telah mendapat pengiktirafan akreditasi penuh daripada Majlis Akreditasi Teknologi dan Teknikal (TTAC) dan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

 

MBOT dalam satu kenyataan berkata, kesemua program tersebut merupakan Sijil Tahap 3 Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework – MQF). 

 

Katanya, program-program tersebut merangkumi enam daripada 24 bidang yang diiktiraf oleh MBOT iaitu Teknologi Automotif, Teknologi Elektrik dan Elektronik, Teknologi Pembinaan, Teknologi Makanan, Teknologi Berasaskan Pertanian, dan Teknologi Pembuatan dan Industri.

 

"Akreditasi Penuh merupakan perakuan rasmi kepada Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) bahawa sijil, diploma atau ijazah yang akan dianugerahkan kepada graduan adalah selaras dengan standard yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualification Agency – MQA)," katanya.

 

Ini merupakan satu petunjuk penting bahawa institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti Kolej Komuniti mempunyai standard yang tinggi termasuk dalam aspek pengajaran, kualiti tenaga pengajar, metodologi serta sumber pengajaran.

 

MBOT yakin bahawa kolej-kolej komuniti akan berjaya menghasilkan juruteknik pakar yang bersedia untuk berkhidmat dalam industri, dan memanfaatkan kesemua pemegang taruh utama dalam program TVET.

 

"Pengiktirafan ini turut melayakkan graduan-graduan daripada 70 program tersebut untuk mendaftar sebagai Juruteknik Berkelayakan di bawah MBOT secara automatik sejurus tamat pengajian. 

 

"Pengiktirafan Akreditasi Penuh program-program bersifat teknikal ini juga bakal menyaksikan lebih 11,000 graduan teknikal berpotensi untuk diiktiraf sebagai profesional untuk menjadi pakar industri sebagai Juruteknik Bertauliah (Tc.).

 

Selain itu, MBOT juga yakin bahawa usaha ini akan membantu dalam usaha kerajaan yang mengambil pelbagai inisiatif untuk memperkasakan program TVET, sekali gus meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap TVET sebagai salah satu platform pendidikan dan sumber sara hidup yang penting.

 

Sehingga kini, TTAC MBOT telah memberi akreditasi kepada 805 program akademik merangkumi SijilTahap 3, Diploma, Diploma Lanjutan dan Ijazah Sarjana Muda di pelbagai pusat pengajian iaitu universiti awam, swasta, dan institusi TVET. - DagangNews.com