90% kakitangan MAHB di KLIA telah divaksin | DagangNews Skip to main content

90% kakitangan MAHB di KLIA telah divaksin

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin ‘turun padang’ pada hari kedua program vaksinasi di PPV KLIA. - Gambar Facebook Malaysia Airports

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Sejak pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada minggu lepas, sebanyak 90% daripada kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang bertugas di lapangan terbang itu telah disuntik vaksin COVID-19. 

 

MAHB dalam masa sama masih meneruskan usaha untuk memvaksinkan komuniti KLIA yang selebihnya, terdiri daripada pekerja agensi kerajaan berkaitan serta syarikat penerbangan, kargo, perkhidmatan pembersihan dan lain-lain. 

 

Sementara, lebih 80% daripada sekitar 8,500 kakitangan MAHB yang layak di seluruh negara juga telah menerima vaksin dos pertama.

 

Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, inisiatif ini diambil walaupun sempadan negara masih ditutup, namun lapangan terbang kekal beroperasi seperti biasa dan keselamatan komuniti lapangan terbang menjadi keutamaan kumpulan itu.

 

Zambry Abd Kadir
Zambry Abd Kadir

 

“Saya amat berbangga dengan sikap komuniti lapangan terbang yang rata-rata tidak teragak-agak tampil untuk menerima vaksin bersandarkan rasa tanggungjawab mereka terhadap keselamatan diri dan orang sekeliling.

 

“Pelaksanaan inisiatif ini penting kerana kita perlu memastikan yang operasi lapangan terbang tidak terjejas. 

 

“Di samping itu, kita juga perlu membuat persediaan agar keselamatan di lapangan terbang berada di tahap tertinggi terutama apabila kita memasuki fasa pemulihan. Ini akan membantu dalam meningkatkan keyakinan di kalangan pengembara dalam sektor pengangkutan udara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Seramai lebih kurang 22,000 pekerja sektor penerbangan dan berkaitan di KLIA yang layak dijangka menerima vaksin mereka sehingga akhir September ini.

 

PPV KLIA telah dibuka atas keprihatinan dalam memastikan komuniti lapangan terbang yang juga merupakan barisan hadapan kekal selamat. 

 

Ia hasil usaha sama MAHB dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), Protect Health, Airline Operators Committee (AOC) dan Airfreight Forwarders Association of Malaysia (AFAM) selain telah menerima sambutan menggalakkan dalam kalangan pekerja sektor penerbangan. - DagangNews.com