93% setuju kerajaan wajibkan vaksinasi | DagangNews Skip to main content

93% setuju kerajaan wajibkan vaksinasi

Vaksin COVID-19

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Jun - Sebanyak 93% masyarakat bersetuju sekiranya kerajaan mewajibkan pengambilan vaksinasi COVID-19.

 

Bagaimanapun, 7% lagi memberi pendapat tidak bersetuju terhadap persoalan berkenaan.

 

Persoalan tersebut dipaparkan dalam bentuk undian di laman Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula 9 Jun baru-baru ini.

 

Jumlah peratusan tersebut dicatatkan setakat pukul 4.20 petang hari ini.

 

Peratusan keseluruhan yang diperoleh itu mendapat undian daripada 56,596 pengguna Twitter.

 

.
Tangkap layar undian yang dibuat KKM di laman Twitter.

 

Hingga kini, kerajaan Malaysia belum membuat kewajipan terhadap pengambilan vaksin COVID-19, sebaliknya ditawarkan secara sukarela.

 

Perkara itu turut disuarakan Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali pada Mac baru-baru ini.

 

Menurut beliau, kerajaan masih kekal dengan pendirian tidak mewajibkan pengambilan vaksin terhadap semua rakyat negara ini.

 

Jelasnya, usaha untuk menggalakkan pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan dilakukan secara berterusan selain dipergiatkan meliputi pembukaan kaunter pendaftaran di fasiliti kesihatan kerajaan.

 

"Vaksin bukan perkara baharu bagi kita dan seperti vaksin penyakit lain sebelum ini, pengambilannya tidak diwajibkan sebaliknya hanya disarankan.

 

"Ianya sama dan setakat ini belum ada usaha untuk mewajibkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)," jelas beliau seperti dilapor Berita Harian.

 

.

 

Malaysia berjaya mencatatkan jumlah pemberian vaksin 4.1 juta setakat 10 Jun 2021.

 

Jumlah kumulatif yang dicapai itu meliputi 2.8 juta dos vaksin pertama dan 1.2 juta pemberian dos kedua.

 

Selain itu, statistik harian pemberian vaksin juga turut mencatatkan jumlah yang lebih tinggi melebihi sasaran 150,000 dos bagi tempoh tiga hari berturut-turut. - DagangNews.com