ABIM junjung titah Sultan Perak: tolak amalan rasuah dalam kalangan generasi muda | DagangNews Skip to main content

ABIM junjung titah Sultan Perak: tolak amalan rasuah dalam kalangan generasi muda

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Oleh Muhammad Faisal Abdul Aziz 

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) menjunjung tinggi titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah (Sultan Nazrin Muizzuddin Shah), yang menegaskan bahawa anak muda perlu dibimbing dengan program literasi politik agar mereka berupaya memahami erti dan amalan demokrasi yang sihat.

 

ABIM juga menjunjung tinggi titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menekankan kepentingan literasi ini untuk mereka membina, memahami sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan kerajaan dan elemen-elemen yang wajib dimiliki oleh pemimpin.

 

ABIM komited untuk membimbing generasi muda untuk membina watak generasi masa hadapan dengan teras jati diri bersama nilai-nilai moral yang tinggi.

 

Dalam proses ini ABIM menekankan kesetiaan kepada nilai dan maruah yang akan memimpin kita membina satu kefahaman dan identiti warga yang menolak amalan rasuah serta gejala perkauman sempit.

 

Nilai ini adalah akar kepada keperibadian bangsa Malaysia yang bermaruah dan berintegriti.

 

Dalam masa yang sama juga ABIM akan terus melakukan libat urus bersama pemegang-pemegang taruh lain dalam kalangan ahli politik muda dan warga belia, untuk membawa wacana politik segar yang menolak rasuah serta berorientasi khidmat kepada rakyat.

 

Dalam perkembangan berkaitan, untuk meratakan pendidikan demokrasi dalam kalangan generasi muda, ABIM juga mengusulkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melalui Akademi SPR untuk bersama badan NGO anak muda untuk menggerakkan inisiatif ini. - DagangNews.com

 

 

abim
Muhammad Faisal Abdul Aziz adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)