Acer Malaysia tawar skim ‘guna dulu, bayar kemudian’ kepada PKS | DagangNews Skip to main content

Acer Malaysia tawar skim ‘guna dulu, bayar kemudian’ kepada PKS

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Memahami cabaran dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendepani kebiasaan baharu, Acer Malaysia menawarkan mereka skim pembayaran ansuran, ‘guna dahulu, bayar kemudian’ bagi peranti kelengkapan teknologinya. 

Inisiatif itu diperkenalkan bagi membantu PKS di Malaysia untuk mentransformasi perniagaan mereka bagi kerja mudah alih atau menerusi model dalam talian dengan bantuan peranti teknologi maklumat (IT). 

Skim itu membenarkan PKS dan perniagaan di Malaysia untuk memilih kelengkapan IT sekurang-kurangnya bernilai RM50,000 berdasarkan keperluan bisnes mereka. 

Tempoh pembayaran ansuran atau pajakan itu antara 24 hingga 36 bulan bergantung kepada kelengkapan yang diperlukan dan jumlah ansuran bulanan yang mereka mampu. 

Pengurus Besar Jualan, Produk dan Pemasaran Acer malaysia, Chan Weng Hong berkata, Acer Malaysia ingin membantu menyokong perniagaan PKS menerusi keperluan IT untuk mereka bangkit semula lebih kuat seterusnya mampu menawarkan pekerjaan serta menyumbang kepada ekonomi negara.

 

Chan Weng Hong
Chan Weng Hong

 

“PKS di Malaysia berdepan dengan cabaran yang tidak terjangka dan mereka berusaha untuk pulih semula setelah terjejas akibat pandemik COVID-19. 

“Banyak perniagaan yang memindahkan operasi mereka kepada digital dan kami memahami bahawa kebanyakannya berdepan dengan masalah aliran tunai untuk dilaburkan ke dalam teknologi, kelengkapan dan peranti yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Bagi membantu PKS, permulaan bayaran ansuran boleh ditunda selama enam bulan, di mana perniagaan hanya perlu membuat pembayaran ansuran awal bagi bulan pertama dan selebihnya bermula tujuh bulan kemudian. 

Initiatif itu termasuklah komputer peribadi (PC), perkhidmatan, perisian Acer yang boleh diubah mengikut keperluan pelanggan. 

Dalam pada itu, Acer Malaysia turut melanjutkan tiga tahun waranti percuma dalam pakej tersebut. Bagi PKS yang berminat dengan model sewa beli, Acer Malaysia turut menyediakannya menerusi rakan kongsi kredit dan pajakan.

Acer Malaysia turut menawarkan sumbangan sokongan bernilai RM1,000 kepada 88 PKS yang berjaya bagi meringankan beban mereka. 

PKS yang berminat boleh membuat permohonan menerusi web https://b2b.acer.com.my/ atau hubungi Acer Info Hotline di talian 1800-88-1288 atau e-mel kepada ama.marcom@acer.com. - DagangNews.com