Aduan, pertanyaan mengenai penipuan pelaburan meningkat semasa pandemik COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Aduan, pertanyaan mengenai penipuan pelaburan meningkat semasa pandemik COVID-19

KUCHING 19 Sept - Jumlah aduan dan pertanyaan berkaitan penipuan pelaburan dan aktiviti tidak berlesen di Malaysia masing-masing meningkat 25% dan 57% sepanjang tempoh dua tahun COVID-19.

 

Pengurus Besar Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Jawahar Ali Ameer Ali berkata, tahun lalu sejumlah 1,857 aduan dan 2,193 pertanyaan diterima, manakala pada 2020 terdapat 1,482 aduan dan 3,464 pertanyaan dibuat.

 

Walaupun tiada data di sebalik peningkatan jumlah itu, beliau percaya kesempitan kewangan yang dihadapi rakyat dalam tempoh itu menyebabkan mereka terperangkap dalam jerat penipuan itu.

 

"Sebelum 2019, kami menerima aduan dan pertanyaan tetapi tidak sebanyak itu. Jadi jumlahnya agak ketara dan dari pemerhatian saya, ia ada kaitan dengan orang yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan, menjadi bosan dan bergelut dari segi kewangan. 

 

"Golongan ini mencari lebih peluang untuk menjana pendapatan di laman sosial, lokasi di mana penipu mencari mangsa," katanya pada program Bersama InvestSmart@Sarawak 2022, lapor Bernama.

 

Beliau berkata, kadar faedah rendah ketika itu dan penggunaan media sosial yang tinggi juga menyumbang kepada peningkatan penipuan dalam talian tersebut.

 

Jawahar Ali berkata, siri bengkel perancangan pendidikan dan kewangan mengenai pelaburan yang diadakan oleh SC melalui platform InvestSmart akan memastikan orang ramai celik kewangan.

 

InvestSmart menjalankan program Agen Bijak Labur Desa (ABJAD) bermula tahun ini, bertujuan meningkatkan pengetahuan kewangan dan pelaburan penduduk luar bandar, memandangkan penduduk luar bandar dikenal pasti sebagai terdedah berdasarkan aduan yang diterima.

 

“Di bawah ABJAD, kami menyasarkan pelajar sekolah menengah untuk menjadi agen perubahan dengan memastikan mereka tidak terjerumus dalam penipuan selain memaklumkan ahli keluarga dan rakan-rakan.

 

"Secara keseluruhannya, kami mempunyai 14 sekolah terlibat dengan dua daripadanya di Sarawak. Sasaran kami ialah 12,500 peserta melibatkan pelajar dan guru menjelang akhir tahun ini," katanya.

 

Jawahar Ali berkata, SC berhasrat untuk menjadi lebih proaktif dalam mendidik orang ramai tentang mengenal pasti penipuan pelaburan melalui platform sosialnya seperti Twitter, Instagram dan Youtube.

 

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak Senarai Makluman Pelabur SC untuk mengenal pasti entiti yang tidak dibenarkan dan tidak berlesen di Malaysia.

 

"Terdapat sesetengah syarikat mendakwa sebagai firma pelaburan antarabangsa, tetapi ini adalah persepsi yang cuba kita hapuskan di sini kerana yang paling penting, mereka mesti mempunyai lesen di Malaysia untuk beroperasi di Malaysia walaupun entiti itu dilesenkan oleh 10 bidang kuasa berbeza,” katanya. - DagangNews.com