AEON Credit, AEON Financial mohon lesen bank digital | DagangNews Skip to main content

AEON Credit, AEON Financial mohon lesen bank digital

KUALA LUMPUR 1 Julai - AEON Credit Service (M) Bhd dan AEON Financial Service Co Ltd (AFS) mengemukakan permohonan bersama kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendapatkan lesen bank digital.

 

Sebaik sahaja mendapat kelulusan, AEON Credit berkata, satu syarikat usaha sama akan diperbadankan dan jika perlu, sebuah syarikat pegangan kewangan (FHC) bagi syarikat usaha sama itu akan ditubuhkan.

 

AEON Credit akan memiliki 40% kepentingan ekuiti dalam FHC manakala AFS akan memiliki baki 60% pegangan.

 

"Berdasarkan struktur pemegangan saham FHC dan kepentingan ekuiti sebanyak 61.5 peratus yang dipegang oleh AFS dalam AEON Credit, AFS akan memegang kepentingan ekuiti 84.6 peratus dalam FHC dan JVC.

 

"Oleh itu, FHC dan JVC akan dianggap sebagai anak syarikat AFS," kata AEON Credit dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, lapor Bernama.

 

Selepas diperbadankan, FHC akan mempunyai modal saham terbitan berjumlah RM200 juta merangkumi 200 juta saham biasa manakala JVC akan memiliki modal saham terbitan berjumlah RM200 juta merangkumi 200 juta saham biasa, selepas kelulusan pengeluaran lesen perbankan kepada bank digital itu.

 

Pada akhir tahun kelima daripada permulaan operasinya, bank digital itu perlu mencapai dana modal minimum berjumlah RM300 juta tidak terjejas oleh kerugian. - DagangNews.com