AFN lancar laman web Bahasa Melayu, Indonesia | DagangNews Skip to main content

AFN lancar laman web Bahasa Melayu, Indonesia

AFN

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Saluran rancangan makanan dalam talian dan televisyen terkemuka, Asian Food Network (AFN) melancarkan laman web terbaharunya dengan dua bahasa berbeza iaitu Bahasa Melayu dan Indonesia.

AFN dalam satu kenyataan berkata, laman web yang dilancarkan itu akan memaparkan kandungan yang mengfokuskan kepada keunikan makanan tempatan dalam bahasa ibunda.

"Laman web ini menyediakan resepi makanan, tip, trend, dan cerita inspirasi Asia.

"Ia menjadi saluran informasi makanan semua dalam satu yang canggih kepada komuniti dan semua pencinta makanan Asia," jelas AFN.

AFN

Jumlah pengikut laman web asianfoodnetwork.com dilihat semakin bertambah sejak dilancarkan pada November 2019 dengan 30% daripadanya adalah masyarakat Malaysia dan Indonesia.

Jelas AFN, situasi tersebut mendorong dan membuka ruang kepada pihaknya untuk mempelbagai dan mengembangkan kandungan dalam setiap salurannya.

Melalui inisiatif ini juga, AFN memberi fokus kepada kelebihan komunikasi dan perhubungan dengan lebih meluas kepada komuniti pencinta makanan.

Orang ramai akan lebih mudah untuk bersama dengan pencinta makanan lain dengan mengambil faktor pengkhususan budaya serta penampilan duta dari rantau Asia Tenggara.

"Ia akan lebih mudah diakses untuk orang ramai mendapatkan inspirasi dan mencipta semula masakan Asia kegemaran mereka. Pencinta makanan hanya perlu daftarkan akaun secara mudah, memilih kandungan kegemaran dan boleh berinteraksi dengan pencinta makanan lain melalui ruangan komen.

"Langkah inklusif yang dijalankan ini memberi peluang kepada AFN untuk menjadi penghubung kepada perbezaan bahasa dan budaya di seluruh rantau serta mengangkat keunikan makanan Asia di peringkat global," jelas AFN lagi. - DagangNews.com