Agak positif dengan kontrak baharu Velesto, HLIB kekal saranan 'beli' | DagangNews Skip to main content

Agak positif dengan kontrak baharu Velesto, HLIB kekal saranan 'beli'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Velesto Energy Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada 18 sen. 

 

Walaupun Velesto meraih kontrak penggerudian daripada Petronas Carigali Sdn. Bhd. bagi pelantar naga 2 bernilai AS$12.4 juta (RM52 juta), tetapi firma itu hanya melihat perkembangan itu sedikit positif kepada kumpulan. 

 

"Ini kerana kami mengetahui yang kadar penggunaan adalah rendah bagi pemain pelantar jack-up pada suku pertama disebabkan musim tengkujuh mulai Disember hingga Februari dan juga pengurusan perbelanjaan modal (capex) pelanggan. 

 

"Oleh itu, kami agak positif dengan kontrak ini kerana ia akan menjadikan Naga 2 digunakan sekurang-kurangnya hingga akhir April 2022, dengan mungkin dilanjutkan lagi 1+1 bulan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada Jumaat, Velesto dalam makluman di Bursa Malaysia berkata, kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat tidak langsungnya, Velesto Drilling Sdn. Bhd. yang menerima surat anugerah daripada Petronas Carigali.

 

Di bawah program penggerudian Petronas Carigali, Naga 2 akan menggerusi 5 telaga minyak dengan kontrak dijangka bermula 1 hingga 31 Disember tahun ini.

 

Menurut HLIB, berdasarkan kontrak baharu itu, ia tidak membuat sebarang perubahan bagi unjuran pendapatan kumpulan.

 

Malah, firma itu menjangkakan Velesto akan merekodkan hasil yang lebih baik pada separuh kedua 2021 setelah berdepan prestasi lemah pada separuh pertama. 

 

"Ini mengambil kira kadar penggunaan bagi pelantarnya (digabungkan dengan kadar penggunaan pada separuh pertama kekal pada 33%," tambahnya. 

 

Setakat 11.55 pagi ini, saham Velesto menokok 0.05 sen atau 3.57% kepada 14.5 sen dengan 4.53 juta saham diniagakan. - DagangNews.com