Ageson memeterai MoU dengan Kobena bagi penjualan tanah berharga RM35 juta | DagangNews Skip to main content

Ageson memeterai MoU dengan Kobena bagi penjualan tanah berharga RM35 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Sept - Ageson Berhad menerusi anak syarikatnya, Solidvest Properties Sdn. Bhd. (SPSB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Koperasi Belia Nasional Berhad (Kobena) bagi penjualan tanah seluas 3.77 hektar di Gombak kepada koperasi itu pada harga RM35 juta.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pertimbangan pembelian itu akan disempurnakan secara tunai selepas mengambil kira nilai tanah berkenaan dan potensi pembangunan masa hadapan.

 

"Selepas selesai penjualan tanah tersebut, Kobena bercadang untuk melantik SPSB sebagai pemaju untuk merancang, membangun, menyiapkan dan mendapatkan pembeli berpotensi untuk cadangan pembangunan," katanya.

 

Pada 22 Julai 2019, SPSB mendapat kebenaran merancang daripada Majlis Perbandaran Selayang untuk membangunkan tanah tersebut sebagai cadangan pembangunan kediaman.

 

"Cadangan pembangunan itu melibatkan 56 unit rumah berkembar dan empat unit banglo dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM92.5 juta," katanya.

 

Perjanjian itu bagaimanapun tidak akan memberi kesan ke atas modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham utama syarikat.

 

Selain itu, ia tidak memberi sebarang kesan kepada aset bersih, pendapatan sesaham dan penggearan Ageson dan anak-anak syarikatnya.

 

Perjanjian itu juga tidak memerlukan kelulusan daripada pemegang saham atau mana-mana pihak berkuasa dan tidak bersyarat pada sebarang cadangan lain yang diambil atau akan dilaksanakan oleh syarikat. - DagangNews.com