Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Nov. - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Agrobank memainkan peranan penting dalam membantu usahawan mikro yang terlibat dalam sektor pertanian dan industri makanan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, setakat 30 Oktober 2020, Agrobank telah mencatatkan jumlah pembiayaan keseluruhan sebanyak RM1.3 bilion kepada 39,130 pengusaha mikro.
"Agrobank juga menawarkan pelbagai kemudahan kewangan kepada usahawan yang terlibat dalam aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan dalam mengharungi cabaran ekonomi pasca COVID-19," jelasnya ketika menjawab soalan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bersatu-Bukit Gantang) di Dewan Rakyat hari ini.
Jawapan tersebut diberikan setelah Syed Abu Hussin meminta beliau menyatakan peranan Agrobank dalam pembiayaan mikrokredit bagi membantu usahawan mikro yang mengusahakan aktiviti perniagaan yang berasaskan pertanian dan industri makanan.
Selain itu, Syed Abu Hussin turut meminta beliau menyatakan kemudahan kewangan yang disediakan oleh agrobank untuk sektor berkenaan dalam mengharungi cabaran ekonomi pasca COVID-19.
Menyentuh berkaitan kemudahan kewangan yang disediakan oleh agrobank, beliau menggariskan tiga kemudahan kewangan kepada usahawan yang terlibat dalam aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan dalam mengharungi cabaran ekonomi pasca COVID-19.
- Pertamanya, Skim Pembiayaan Mikro Kredit di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA).
- Skim ini menawarkan kemudahan pembiayaan tanpa cagaran dengan kadar faedah yang rendah iaitu sebanyak 3.5%.
- Had pembiayaan adalah minimum RM1,000 dan maksimum RM50,000 bagi setiap individu dan tempoh pembiayaan adalah sehingga lima tahun atau 60 bulan.
- Sehingga 22 November 2020, Agrobank telah meluluskan lebih 8,000 permohonan dengan jumlah pembiayaan keseluruhan bernilai RM73 juta.
- Keduanya, Agrobank Microenterprises Special Relief Program.
- Menerusi program ini, Agrobank akan membiayai 6 bulan ansuran awal untuk akaun sedia ada atau akaun baharu dan pelanggan tidak perlu membayar 6 bulan pertama skim pembiayaan.
- Dengan itu, tempoh 6 bulan tersebut membolehkan usahawan mikro memberi tumpuan sepenuhnya dalam memulihkan kembali aliran tunai pendapatan bagi 6 bulan akan datang.
- Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020, Agrobank telah meluluskan lebih 4,600 permohonan di bawah dana-dana sedia ada dengan jumlah pembiayaan keseluruhan bernilai RM203 juta.
- Ketiga, Agrobank juga menyediakan kemudahan pembiayaan khusus kepada usahawan muda melalui Program Agropreneur Muda. Skim pembiayaan di bawah program ini menyediakan pinjaman maksimum sehingga RM200,000 bagi projek pertanian. - DagangNews.com